Monday, October 25, 2010

FESTIVAL MENGHANCURKAN NAMA ISLAM

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Mengapa Pas menentang Festival Busana Islam di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu ? Adakah Pas menentang Busana Islam ?

Saya sempat mengunjungi sesawang di www.islamicfashionfestival.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang festival busana Islam yang menjadi isu panas sekarang ini. Di dalam website tersebut ada disenaraikan nama-nama anggota Lembaga Stail Festival Busana Islam yang dinaungi Dato Sri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Anggota-anggota Lembaga tersebut merangkumi individu-individu dari Malaysia, Indonesia dan Dubai.

Saya tidak pasti sama ada semua anggota lembaga itu adalah Islam. Antara anggota itu adalah Ibu Sonia Lee. Jika diandaikan kesemua anggota lembaga tersebut adalah Islam khususnya anggota-anggota wanita, saya tidak nampak mana-mana anggota itu yang menutup aurat secara sempurna. Daripada Datin Sri Rosmah sebagai penaung semua anggota wanita tidak menutup rambut mereka. Antara anggota wanita Malaysia yang menganggotai lembaga tersebut adalah YAM Tengku Aishah, Puan Sri Faridah dan Datin Nina Juren. Suami penyanyi Siti Norhaliza iaitu Dato Sri Khaled Mohd Jewa juga adalah anggota Lembaga tersebut. Saya tidak pasti sama ada Lembaga ini ada merujuk kepada para cendiakawan Islam bagi mendapatkan pandangan sama ada festival yang mereka anjurkan selari dengan Islam.

Apabila tiada seorang ahli wanita lembaga tersebut menutup aurat saya tidak pasti apakah pandangan Lembaga tersebut tentang isu penutupan aurat yang merupakan sebahagian dari ajaran Islam. Adakah Lembaga tersebut berpendirian menutup aurat bagi wanita adalah tidak wajib oleh itu berfesyen tanpa menutup aurat tidak menjadi satu masalah ? Jika Lembaga tersebut berpendapat menutup aurat adalah wajib mengapakah festival busana Islam yang diadakan di Monte Carlo ( pusat perjudian yang terkenal ) pada 9 Ogos yang lalu membiarkan peragawati-peragawati fesyen menggayakan pakaian yang tidak menutup aurat dan mereka juga dibenarkan menggoyang-goyangkan badan mereka seperti mana dalam pentunjukkan fesyen yang tidak dibuat atas nama Islam.

Bagi tujuan penulisan artikel ini saya sempat melihat berita CNN ( di dalam youtube ) tentang petunjukkan fesyen tersebut. Saya hanya boleh mengatakan apa yang diperagakan tidak boleh sama sekali dikatakan sebagai festival busana Islam.

Sudah menjadi trend kini golongan Islam yang berfikiran dan berfahaman sekular menggunakan label Islam bagi menjustifikasikan program yang mereka anjurkan. Festival Busana Islam ini satu contoh yang jelas.

Di dalam website mereka , penganjur mengatakan tujuan mereka menganjurkan festival busana Islam adalah bagi membetulkan tanggapan orang-orang barat tentang Islam. Kata penganjur Islam sering dikaitkan dengan pengganas maka salah satu cara untuk membetulkan tanggapan tersebut adalah dengan menunjukkan kepada orang-orang barat bahawa Islam juga menghargai kecantikan dan dunia fesyen , maka timbullah idea menganjurkan festival busana Islam tersebut.

Bagi kita sebarang usaha untuk membetulkan persepsi barat tentang Islam adalah satu niat yang murni. Bagaimanapun niat yang murni sahaja tidak mencukupi. Ia juga harus bergerak di dalam landasan yang betul Dalam hal ini umat Islam tidak perlu apologetik ( bersifat mengalah ) hanya semata-mata ingin menjaga hati orang-orang barat. Umat Islam perlu sedar pertembungan nilai antara barat dan Islam memang wujud. Oleh itu sebarang usaha untuk cuba mengenepikan pertembungan tersebut adalah usaha sia-sia.

Dunia fesyen barat adalah berteraskan falsafah hedonism dan alam glamour. Hedonisme dan glamour adalah permainan nafsu. Memandangkan barat mempromosikan kebebasan mutlak dalam dunia fesyen maka tiada sebarang sekatan dibenarkan bagi mengawal dunia fesyen di sana. Bertolak dari falsafah ini sebarang pakaian yang direka di sana tidak akan mengambil kira soal maruah dan harga diri wanita. Tiada istilah menutup aurat dan berpakaian sopan dalam kamus dunia fesyen barat.

Melihat kepada petunjukkan fesyen busana Islam di Monte Carlo tiada apa yang dapat dibezakan dengan petunjukkan fesyen –fesyen lain. Bezanya di Monte Carlo ada istilah Islam. Itu sahaja. Jika di dunia fesyen barat peragawati tidak menutup aurat , di Monte Carlo pun apa bezanya. Jika di barat peragawati yang menggayakan koleksi pakaian terbaru sibuk menggoyangkan segala-galanya bagi menarik hati pengunjung , di Monte Carlo juga pengunjung melihat perkara yang serupa dalam festival busana Islam !!!

Seorang ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan pembangkang mengecam tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.Fathul Bari berkata, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu.

Cukuplah mengampu wahai Ustaz muda !! Awak sedarkah Rosmah adalah orang penting yang bertungkus lumus menjayakan festival busana Islam! Kalau awak tak sedar mari kami tunjukkan apa yang disebut di websitewww.islamicfashionfestival.com.my.

Dinyatakan “ Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor as the founding patron, has helped establish the fashion festival as a landmark event in the history of global fashion ( Terjemahan “ Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor selaku penaung awal telah membantu menjayakan festival fesyen sebagai satu upacara unggul di dalam sejarah dunia fesyen di peringkat global )

Wahai Fathul Bari sepatutnya awak mengucapkan terimakasih pada pemuda Pas yang menjalankan tanggungjawab menegur kemungkaran setelah semua ulama Umno diam membisu dan membatu tidak berani menegur isteri Perdan Menteri.

Jika awak minta Pas menasihati dan tidak mengecam , baiklah sekarang ini dengan nama Allah kami menasihati awak sebagai orang yang tahu hukum agama silalah tinggalkan Umno kerana dengan menyokong Umno awak pada hakikatnya merestui segala kezaliman dan kemungkaran yang Umno lakukan. Kalau Ah Chong dan Mutusamy pun mahu menyokong kepimpinan ulama dalam Pas , awak tidak malukah masih mahu bersekongkol dengan Umno !!

Monday, October 11, 2010

AHMAD MASLAN DAN NAJIB IBARAT CACING KEPANASAN

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apabila keputusan Mahkamah memihak kepada para peneroka Felda Kemahang, pihak yang bertanggungjawab menjaga Felda menyatakan bahawa sebenarnya kekalahan itu kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Kini apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan memihak kepada peneroka Sungai Koyan, Ahmad Maslan dan Najib bertungkus lumus menyatakan bahawa sebenarnya Felda tidak kalah .

Najib dan Ahmad Maslan masih lagi di dalam “denial syndrome” ( sindrom penafian ) –tidak dapat menerima dua keputusan Mahkamah yang menyebelahi peneroka dan tidak menyebelahi Felda. Maka bagi menegakkan benang basah kedua-dua pemimpin ini nampak sangat terkial-kial cuba menyelamatkan imej Felda yang terguris teruk di sini sana. Hakikatnya semakin mereka cuba mempertahankan Felda semakin jelas mereka tercungap-cungap !

Kita lihat dulu kes Felda Kemahang. Felda menyatakan bahawa institusi tersebut kalah kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Secara tersirat Felda ingin menyatakan bahawa peneroka menang kes tersebut bukan kerana kes mereka kuat.

Persoalannya benarkah Felda kalah hanya kerana semata-mata peguam Felda tidak hadir di Mahkamah ? Memang mudah untuk menipu rakyat dengan berselindung di sebalik hujah ini. Namun Najib dan Ahmad Maslan kena ingat pepatah Amerika yang menyatakan “ kita boleh berbohong seseorang dalam sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa”.

Ya, benar antara sebab Felda kalah dengan peneroka Kemahang kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Tetapi itu hanya sebahagian dari kebenaran. Kebenaran lain yang disorok oleh Najib dan Ahmad Maslan adalah meskipun peguam Felda tidak hadir, Hakim yang mendengar perbicaraan tersebut tidak memberikan kemenangan mudah kepada peneroka Felda Kemahang. Dalam bahasa undang-undang hakim tersebut tidak memasukkan penghakiman ingkar ( judgment in default ) ke atas Felda hanya kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Untuk makluman para pembaca penghakiman ingkar adalah penghakiman yang direkodkan oleh Mahkamah jika salah satu pihak tidak hadir di Mahkamah dan penghakiman tersebut dibuat tanpa Hakim mendengar keterangan dari pihak-pihak atau saksi-saksi mereka.

Dalam kes Felda Kemahang meskipun Felda dan peguam mereka tidak hadir di Mahkamah , Hakim Dato’ Azman Hussin masih mahu mendengar keterangan saksi-saksi peneroka sebelum membuat keputusan. Hanya setelah Hakim mendengar keterangan barulah hakim berpuashati bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa unsur penipuan dalam kes tersebut dan sekaligus Hakim memerintahkan Felda membayar peneroka-penerokan yang menyaman itu gantirugi RM 11 juta. Berdasarkan hal tersebut adalah TIDAK BENAR untuk Najib dan Ahmad Maslan menyatakan Felda kalah hanya kerana peguam Felda tidak hadir. Hakikatnya meskipun peguam Felda tidak hadir kes tersebut masih boleh menyebelahi Felda jika Hakim , setelah mendengar saksi pihak peneroka, merasakan peneroka telah gagal membuktikan kes mereka.

Kita lihat pula isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan di dalam kes para peneroka Sungai Koyan 2 dan 3. Ahmad Maslan berkata, laporan akhbar Harakah yang berjudul “Felda Kalah Lagi” mengelirukan dan tidak tepat. "Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar pada 7/10/2010.

Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ahmad Maslan cuba bermain dengan logik. Logik beliau kalau Felda kalah sudah tentu Felda akan merayu. Oleh kerana Felda tidak merayu maka mengikut logik Ahmad Maslan Felda tidak kalah.

Baiklah jika itu logik Ahmad Maslan kita juga boleh menjawab dengan logik berikut. Jika Felda tidak kalah maka sudah tentu peneroka yang kalah .Dalam Mahkamah tidak ada keputusan seri. Jika peneroka kalah sudah tentu saman yang dikemukakan oleh peneroka akan ditolak oleh Mahkamah. Dan jika peneroka yang kalah sudah tentu peneroka yang kena buat rayuan.

Persoalannya bagaimana peneroka hendak dikatakan kalah jika apa yang mereka minta dibenarkan oleh Mahkamah meskipun tidak keseluruhan. Mereka meminta Mahkamah membuat perintah perisytiharan bahawa mereka dibenarkan tanam secara sendiri dan Mahkamh membenarkan perintah itu. Mereka juga meminta Mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka layak diberi RM 1700 seeekar dan Mahkamah juga benarkan perintah tersebut. Hanya kerana Mahkamah menambah bahawa bagi tujuan bayaran RM 1700 seekar perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan tidak boleh ditafsirkan Felda menang dan peneroka kalah.

Sepertimana kes Felda Kemahang, Ahmad Maslan sekali lagi tidak mendedahkan kebenaran yang sebenar. Beliau menyatakan kalau tidak saman pun kita ( felda ) tetap akan bayar. Ini satu pembohongan yang amat terang dan nyata. Kalau Felda akan bayar apa yang diminta oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mengapakah peneroka tersebut perlu bersusah payah pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan hak mereka ? Kalau betul Felda akan bayar mengapakah Felda bertungkus lumus lawan para peneroka habis-habisan di Mahkamah ? Saksi Felda sendiri apabila disoal oleh saya bersetuju bahawa para peneroka perlu pergi ke Mahkamah kerana ingin mendapatkan keadilan. Lihat soal jawab berikut :-

Soalan ( S ): Sekarang ni bila Felda uruskan tanam semula, Felda guna duit dalam tabung,sebahagian duit itu sebahagian duit Plaintif,betul?

Jawapan ( J ) : Betul

S:Maknanya Felda diberi izin berdasarkan perjanjian ini untuk guna wang tabung tanam semula,duit itu yang sebahagiannya ada duit Plaintif.tapi bila peneroka nak tanam sendiri macam-macam syarat dikenakan.wajar tak wajar?

J: Wajar.

S:Kalaulah saya katakan Peneroka yang tanam melalui Felda mereka boleh guna RM 1,700,sepatutya hak yang sama diberikan kepada Plaintif,betul?

J:Betul

S:Tiba-tiba 2002 tak dapat langsung.adil ke tak?

J :Tak adil.

S:kalau tak adil tu la pergi mahkamah .tu la mereka pergi mahkamah untuk dapat keadilan.betul?

J: Betul

Ahmad Maslan menyatakan tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Sekali lagi bercakap bohong jadi hobi Ahmad Maslan. Mengapakah Ahmad Maslan enggan menyatakan kebenaran bahawa semasa saksi Felda memberikan keterangan saksi Felda tanpa berselindung menyatakan bahawa ketiga-tiga peneroka itu hanya layak menerima RM 11,000 lebih sahaja setiap orang sedangkan berdasarkan garis panduan Felda sendiri mereka layak menerima RM 1700 seekar ( RM 1700 x 14 ekar = RM 23, 800-00 ). Jika 3 peneroka ini tidak saman Felda di Mahkamah apakah jaminan Felda setuju bayar mereka jumlah penuh sebanyak RM 23, 800-00 ? Apabila Mahkamah memutuskan mereka layak dibayar RM 1700 seekar tindakan Felda hanya bayar RM 11,000 lebih sahaja kepada 3 peneroka tersebut adalah jelas tidak betul.

Akhir sekali Ahmad Maslan menyatakan saman itu hanya merugikan para peneroka kerana mereka terpaksa membayar khidmat peguam. Mengapakah Ahmad Maslan tidak pula menyatakan bahawa tindakan Felda menggunakan peguam dan membayar kos peguam Felda yang tinggi juga membuang duit Felda sahaja hanya semata-mata Felda mahu tegakkan benang basah dan ingin menafikan hak peneroka. Oh mungkin bagi Ahmad Maslan tidak salah Felda membazir duit bayar yuran peguam Felda sebab duit Felda itu hakikatnya datang dari hasil penat lelah peneroka juga ! Bukankah lebih baik Felda bayar peneroka wang tanam semula dari bayar wang kepada peguam Felda bagi membela Felda untuk tidak mahu bayar wang tanam semula kepada peneroka

Friday, October 01, 2010

PENEROKA MENANG LAGI KES SAMAN FELDA

Harakahdaily

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka kepada Tabung Tanam Semula tidak mencapai RM 1700 seekear.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

10 peneroka Felda itu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

Tambahan :-

1. Peneroka-Peneroka yang menjadi Plaintif-Plaintif di dalam kes ini adalah bekas perajurit negara.Mereka menyaman Felda hanya untuk menuntut hak mereka yang bagi mereka telah dinafikan oleh Felda.

2. Ladang mereka adalah seluas lebih kurang 14 ekar.

3. Berdasarkan keputusan Mahkamah tersebut mereka sepatutnya layak menerima, bagi setiap orang, lebih kurang RM 23,800-00 dari wang tabung tanam semula yang dipegang oleh Felda.

4. Bagi mereka keputusan Y.A Hakim Dato'Mariana tersebut menunjukkan bahawa Mahkamah mengiktiraf hak mereka. Dari reaksi mereka , saya dapati pengiktirafan tersebut lebih bermakna dari wang RM 23,800-00 tersebut.

5. Salah seorang peneroka yang terlibat di dalam kes ini adalah seorang yang berbangsa Cina iaitu saudara Pang Kong Meng.

6. Suatu perkara yang agak lucu semasa peguam Felda menyoal balas Encik Pang Kong Meng, beliau menjawab lebih kurang berikut " I dont understand your question, can you ask me in english." Saya nampak mereka yang berada di Mahkamah agak terkejut kerana saksi ini , meskipun seorang peneroka namun fasih berbahasa Inggeris.

7. Anakguam-anakguam yang saya wakili adalah peneroka yang sudah tua dan ada dari mereka yang sudah tidak jelas pendengaran dan ada juga yang terpaksa dipapah untuk memberikan keterangan di Mahkamah. Yang lebih menyedihkan anakguam saya yang perlu dipapah ini ketika hendak turun tangga ( Mahkamah di tingkat 2 ) ia perlu turun secara "reverse" ( gostan ) dan perlu dipapah oleh isteri yang setia menemani suami memperjuangkan hak mereka.

8. Untuk makluman juga sebelum ini Y.A Hakim Dato' Mariana Yahya juga adalah Hakim yang membuat keputusan memenangkan Dr Hatta Ramly dan 2 pemimpin Pas yang lain di atas saman yang dikemukakan oleh mereka ke atas mantan OCPD Rompin yang menangkap dan menahan mereka dalam satu aktiviti ceramah PAS di Markaz PAS di Rompin.

9. Dato Mariana telah memutusakan bahawa OCPD telah menyalahgunakan kuasa apabila menangkap Dr Hatta dan 2 yang lain dan beliau telah memerintahkan OCPD Rompin membayar gantirugi am, gantirugi tauladan dan gantirugi melampau serta kos Mahkamah kepada Dr Hatta dan 2 yang lain. Kes tersebut kini sedang dalam proses taksiran gantirugi di hadapan Timbalan Pendaftar.

Moga kemenangan kecil ini insya'Allah membawa makna yang besar kepada perjuangan para peneroka yang tahu apa itu erti harga diri dan kehormatan dan terus sabar dan istiqamah mengharungi liku-liku perjuangan.