Tuesday, June 22, 2010

KES TIAN CHUA-MAHKAMAH WUJUDKAN KECELARUAN ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin


Isu sama ada Saudara Tian Chua masih layak menjadi Ahli Parlimen Batu kini hangat dibincangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mengurangkan hukuman denda ke atas Tian Chua daripada RM 3000-00 kepada RM 2000-00.

Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48 ( 1 ) (e ) Perlembagaan Persekutuan ( PP ).  Artikel  48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen. Salah satu sebab yang membolehkan seorang Ahli Parlimen seperti Tian Chua boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen adalah jika Ahli Parlimen itu disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dihukum dengan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau hukuman denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan Ahli Parlimen itu tidak mendapat pengampunan bebas.

Dalam isu Tian Chua ini isunya adalah berkisar kepada frasa “ hukuman denda tidak kurang dari dua ribu ringgit’. Apakah tafsiran yang sebenar tantang frasa tersebut ? Adakah tidak kurang dari dua ribu ringgit termasuk denda sebanyak RM 2000 atau denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa tersebut ?

Melihat kepada alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengurangkan hukuman ke atas Tian Chua, hakim tersebut nampaknya tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Batu. Atas dasar itu beliau mengurangkan hukuman denda daripada RM 3000 kepada RM 2000. 

Saya pasti hakim tersebut sedar tentang kewujudan Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan semasa beliau membuat keputusan. Secara tersiratnya apabila beliau menjatuhkan hukuman denda RM 2000-00 ke atas Tian Chua , hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. 

Mengapa saya menyimpulkan Hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. Jawapannya mudah. Pertamanya beliau bersetuju dengan hujah mitigasi ( pengurangan hukuman ) yang dibuat oleh peguambela Tian Chua untuk mengurangkan denda sehingga ke tahap yang membolehkan Tian Chua tidak hilang kelayakan sekaligus dapat mengelakkan pilhanraya kecil.

Bukti beliau menerima hujah peguambela tersebut amat jelas apabila beliau dengan secara terus terang di dalam penghakimannya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju pilihanraya kecil diadakan. Oleh itu hakim tersebut bertindak mengurangkan denda kepada RM2000 sahaja di atas keyakinan beliau bahawa hukuman denda RM 2000 tersebut tidak mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Secara tersirat kita boleh katakan Hakim tersebut berpendapat bahawa denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa “ hukuman denda tidak kurang dari RM 2000” yang dinyatakan di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi saya adalah lebih wajar hakim tersebut mengurangkan denda Tian Chua kepada jumlah kurang dari RM 2000 seperti RM 1900 misalnya bagi mengelakkan kecelaruan. Dalam keadaan beliau bersetuju tidak wajar diadakan pilihanraya maka adalah lebih elok beliau mengurangkan hukuman denda kepada jumlah yang kurang dari RM 2000.

Apa pun beliau telah menjatuhkan hukuman denda RM 2000 ke atas Tian Chua.  Adakah hukuman RM 2000 itu boleh menyebabkan Tian Chua kini boleh dikatakan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu di bawah Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh menyatakan hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan. Mereka yang menyatakan Tian Chua tidak hilang kelayakan berpegang kepada tafsiran Mahkamah Agung ( pada masa itu ) di dalam kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming ( 1993 ) 1 MLJ 177 Mahkamah Agung diminta menafsirkan seksyen 41B( 1 ) ( b ) Akta Dadah Berbahaya. Mahkamah memutuskan frasa hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun bermaksud “ hukuman penjara lebih dari 5 tahun iaitu dari 5 tahun 1 hari hingga hukuman penjara seumur hidup” . Diterjemahkan dalam konteks kes TianChua ia bermaksud jikaTian Chua dikenakan hukuman lebih dari RM2000-00 barulah beliau dikatakan hilang kelayakan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pendapat Karpal Singh yang menyatakan bahawa hukuman denda RM 2000 itu mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Saya berpendapat perkataan “ denda tidak kurang dari RM 2000-00” di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan adalah terlalu jelas iaitu ia merangkumi hukuman denda RM 2000-00 dan lebih. Dengan lain perkataan jika seseorang Ahli Parlimen itu didenda RM 2000 atau lebih beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Sebenarnya telah ada precedent sebelum ini bagi kes sebegini.Di dalam kes Fan Yew Teng pada tahun 1975 , Ahli Perlimen DAP tersebut telah diputuskan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Mengelembu apabila beliau disabitkan bersalah di atas tuduhan hasutan dan didenda RM 2000. Bagi saya kes Fan Yew Teng lebih wajar dirujuk dari kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming kerana kes Fan Yew Teng melibatkan isu penafsiran Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan sama dengan isu Tian Chua.  

Ingin saya tegaskan di sini meskipun saya berpendapat hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua boleh dikatakan hilang kelayakan ini tidak bermakna saya setuju dengan hukuman tersebut. Hakikatnya saya merasa pelik bagaimanakah hakim Mahkamah Tinggi boleh mengekalkan sabitan keputusan Mahkamah Majistret yang memutuskan Tian Chua bersalah dalam keadaan keterangan pendakwa bahawa Tian Chua menggigit pegawai polis penuh dengan keraguan. Saya lebih nampak kedua-dua keputusan Magistret dan Hakim mahkamah Tinggi itu adalah keputusan yang tidak betul atau boleh dikatakan “keputusan politik” semata-mata.

Mengenai komen Hakim bahawa pilihan raya kecil akan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan rakyat bagi saya adalah alasan yang nampaknya semacam senada dengan suara pemimpin Umno. Bukankah Najib juga pernah mengatakan lebih kurang macam Hakim itu bercakap semasa memboikot pilihanraya kecil Dun Penanti satu ketika dahulu ?

Tuesday, June 15, 2010

USTAZ HASAN SHUKRI -KEHILANGANMU SUKAR DICARI GANTI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sederhana. Prihatin. Mudah mesra. Berpengalaman. Itulah antara lain ciri-ciri yang ada pada seorang individu hebat Pas yang telah pergi meninggalkan kita semua pada tanggal 14 hb Jun 2008 yang lalu. Itulah Almarhum Ustaz Hasan Shukri – orang parti. Kehidupannya diabadikan hanya untuk parti yang beliau amat sayangi iaitu Pas. Mungkin beliau adalah antara pemimpin Pas yang mempunyai pengalaman yang amat lama dalam Pas iaitu sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1951 atau mungkin sebelum itu lagi.

Kali pertama saya bertemu beliau adalah ketika menghadiri tamrin pelajar di Taman Melewar. Ketika itu saya berada di tahun pertama sebagai pelajar undang-undang di UIA . Jika tidak silap saya pada masa itu beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Pas. Itulah kali pertama saya mengunjungi Taman Melawar dan itulah juga kali pertama saya melihat Ustaz Hasan Shukri secara bersememuka. Saya amat tertarik dengan sifat kesederhanaan yang beliau tunjukkan. Meskipun beliau adalah orang lama dalam Pas beliau menujukkan sifat mesra kepada orang-orang baru Pas seperti saya. Banyak pengalaman-pemgalaman manis dan pahit yang beliau kongsikan kepada kami- para pelajar yang baru ingin berjinak dengan Pas.

Sejak dari pertemuan kali pertama sehinggalah kali terakhir saya bertemu dan berborak mesra dengan beliau di Muktamar Pas di Putik Kelantan , apa yang saya boleh katakan adalah betapa Pas kehilangan besar sebuah permata yang amat bernilai. Terlalu banyak perkara yang saya – termasuk para pimpinan dan ahli pas yang lain- belajar dari Ustaz Hasan Shukri. Pelajaran yang paling berharga adalah perlunya istiqamah dalam perjuangan tanpa mengira di waktu senang dan susah. Tidak sedikit mereka yang gugur dalam perjuangan Pas kerana tidak tahan diuji. Namun Ustaz Hasan membuktikan kepada kita beliau telah berjaya melepasi segala ujian dalam perjuangan Pas dan kekal istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat beliau.

Jika kita bercakap tentang jasa dan pengorbanan beliau dalam perjuangan terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Muktamar Pas di Putik baru-baru ini menyaksikan sejarah dalam Pas dengan penyertaan golongan bukan Islam yang menjadi perwakilan melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas. Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar atau tahu bahawa individu yang memberi sumbangan besar sehingga tergubalnya Peraturan –Peraturan bagi mengawal Dewan Himpunan Penyokong Pas adalah Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Kefahaman beliau yang mendalam tentang Perlembagaan Pas dan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Pertubuhan menyaksikan kecerdikan beliau mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas tanpa perlu meminda Perlembagan Pas.

Bagi para pimpinan Pas, Ustaz Hasan adalah pakar Perlembagaan Pas. Boleh dikatakan beliau semacam menghafal Perlembagaan Pas sepertimana Dr Aziz Bari semacam menghafal Perlembagaan Persekutuan. Meskipun saya seorang peguam dan diamanahkan sebagai Penasihat Undang-Undang Pas namun apabila timbul masalah mengenai isu-isu Perlembagaan parti saya yang merujuk kepada beliau dan bukan sebaliknya.

Kehebatan dan pengalaman lama beliau dalam pentadbiran parti dan Perlembagaan parti bukan sahaja diakui dan dihormati oleh dalaman parti tetapi juga mereka yang berada di luar parti. Apabila sahabat –sahabat dari Brunai Darussalam berhajat menubuhkan parti politik mereka telah berkunjung ke rumah Ustaz Hasan dan meminta almarhum menggubal rang Perlembagaan parti politik tersebut. Saya masih ingat setelah beliau menyempurnakan penggubalan rang Perlembagaan tersebut beliau telah menyerahkan saya sesalinan rang Perlembagaan tersebut untuk tujuan semakan dan menerima pandangan saya. Sebagai seorang peguam saya amat terpegun dengan hasil cipta beliau mengambil kira beliau bukan terlatih sebagai seorang peguam dan tidak terdedah dengan disiplin penggubalan undang-undang secara khusus.

Pengalaman bersama beliau menunjukkan bahawa Almarhum adalah orang parti sejak dari awal penyertaan beliau bersama Pas sehingga pemergian beliau. Beliau adalah pemimpin parti yang berpengalaman memegang jawatan parti dari serendah-rendah peringkat sehingga ke peringkat yang paling tinggi iaitu Timbalan Presiden Pas.

Apabila Pas menaja kewangan beliau untuk menyambung belajar di Iraq, beliau membayar balik jasa Pas itu dengan terus berkhidmat dengan parti selepas menyempurnakan pelajarannya. Beliau menunjukkan “ passion ( minat yang mendalam ) dalam kerja-kerja mengemaskan pentadbiran parti di semua peringkat . Meskipun kerja-kerja itu dilihat “kurang glamour” namun itulah kerja-kerja yang beliau lakukan tanpa mengenal penat lelah dan jemu.

Boleh dikatakan semua maklumat cawangan parti di seluruh negara ada di dalam pengetahun beliau. Beliau sanggup meninggalkan keluarga berhari-hari hanya kerana membantu kerja-kerja menguruskan kerja-kerja pentadbiran cawangan –cawangan Pas di seluruh negara.

Sifat mudah mesra dan kesederhanaan beliau tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Semasa saya baru mengenali beliau saya amat terkejut melihat beliau dengan berbaju T=Shirt Pagoda dan berkain pelekat tidak segan silu memotong rumput dan menyapu kawasan di Markaz Taman Melewar sedangkan pada masa itu beliau adalah Timbalan Presiden Pas. Boleh dikatakan kerja-kerja tersebut dilakukan secara rutin oleh beliau.

Boleh dikatakan juga rumah beliau telah menjadi pusat aduan tidak rasmi Pas. Ahli-ahli dan pimpinan parti yang menghadapi masalah sering mengadu nasib kepada AlMarhum tanpa mengira waktu dan masa. Para tetamu dari dalam dan luar negara sering berkunjung ke rumah beliau bagi memohon pelbagai bantuan termasuklah bantuan penginapan dan kewangan .

Saya pernah bertanyakan kepada beliau sewaktu pulang bersama-sama beliau dari satu program ceramah di Sabak Bernam, apakah pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan ketika menghadiri program Pas. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat melupakan peristiwa di mana semasa beliau memandu kereta selepas balik dari satu ceramah salah satu tayar kereta beliau tercabut dan beliau tidak sedar akan hal tersebut dan terus memandu sehinggalah seseorang menahan beliau dan memberitahu beliau bahawa tayar kereta beliau telah tercabut dan terpelanting keluar. Mungkin ini antara karamah yang Allah berikan kepada pejuang Islam yang ikhlas seperti Almarhum.

Moga Allah merahmati Almarhum . Amin.

Monday, June 07, 2010

BERSEDIA DENGAN FASA POLITIK BARU

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Ironis berlaku di dalam mana-mana perjuangan apatah lagi perjuangan Islam. Pas adalah parti Islam dan logiknya orang Islam sepatutnya lebih mudah menerima mesej Islam yang Pas bawa. Namum ironisnya kini orang bukan Islam agak selesa menerima mesej Islam yang dibawa oleh Pas. Dari Lajnah Antara Kaum kini Pas melangkah dengan lebih yakin apabila menaiktarafkan lajnah tersebut kepada status Dewan – Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Bukankah satu yang ironis Pas boleh disokong oleh bukan Islam dalam keadaan Umno yang bermajoritikan orang Islam bermati-matian menentang Pas dari segenap segi.

Apabila Pas menentang judi bola ironisnya ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang bukan beragama Islam tidak membantah pendirian Pas tersebut malahan menyokong sepenuh hati. Tidakkah suatu yang pelik apabila mereka yang bukan beragama Islam di dalam PAS boleh faham kebobrokan judi dan menentangnya sebaliknya Umno sebagai parti yang bermajoritikan orang Islam tidak gentar sama sekali menghalalkan judi yang Allah haramkan secara qat’ie.

Pejuang Islam yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran pasti melihat ironi dalam kisah Nabi Yusuf a.s.. Nabi Yusuf a.s adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya Nabi Yaakub a.s. Apabila anak disayangi oleh bapa ia adalah satu perkara yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu mengakibatkan Nabi Yusuf ingin dibunuh dengan dicampakkan ke dalam telaga.

Berada di dalam kegelapan di dalam telaga selama beberapa hari adalah perkara yang buruk namum ironisnya perkara buruk itu mengakibatkan baginda berjaya berada di istana raja. Berada di istana raja pada zahirnya adalah suatu yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu membawa Nabi Yusuf a.s ke dalam penjara. Berada di dalam penjara adalah suatu perkara yang buruk namun ironisnya perkara yang buruk itu membawa Nabi Yusuf a.s kepada jawatan Menteri Kewangan Mesir sekaligus berjaya mentadbir ekonomi Mesir dengan cemerlang.

Inilah hakikat dan tabiat perjuangan. Ironi di mana-mana. Ia kerja Allah. Sukar kadangkala untuk dirasionalkan.

Apabila Pas kini mula disokong dan didokong oleh rakyat bukan Islam ia menuntut satu persiapan dan kesedian untuk para pemimpin dan ahli Pas berada di fasa baru perjuangan. Pemimpin Pas yang selama ini mungkin lebih selesa berbicara dengan kelompok orang Islam sahaja kini harus menyiapkan dirinya memasuki fasa dan politik baru ini. Fasa baru ini bukan menuntut Pas menggadai prinsip perjuangan atau bersikap apologetik . Tidak . Tidak sama sekali. Apa yang dituntut adalah kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan merangka strategi-strategi baru perjuangan. Mereka yang tidak bersedia dengan persiapan ini dikhuatiri akan menjadi penghambat kepada perkembangan perjuangan Pas kerana amat mudah untuk menolak satu perkara yang baru dalam keadaan seseorang itu sudah selesa dengan sesuatu yang lama.

Sebagai pejuang Islam kita patut merasa bersyukur kerana Islam itu sendiri sarat dengan petunjuk dan panduan kepada kita. Ertinya kita tidak perlu meraba-raba mencari panduan dan petunjuk. Menekuni seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat memberi taujihat yang jelas kepada kita bahawa motto “ Islam adalah rahmat seluruh alam” berjaya ditonjolkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang dididik oleh Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya menonjolkan ruh toleransi ( tasamuh ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka berjumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) iaitu Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur .

Lihatlah ruh tasamuh ( toleransi ) yang Rasulullah s.a.w tonjolkan. Kita lihat pula kisah toleransi Al-Faruk ( Syaidina Umar r.a ) . Seperti yang kita tahu di dalam pemeritahan Islam zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam . Sebagai ganti mereka bertanggungjawab membayar sejenis cukai yang dipanggil jizyah. Bagaimanapun jizyah tidak diwajibkan ke atas wanita , kanak-kanak, orang miskin dan mereka yang tidak mampu. Kalimah jizyah ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

Di zaman Syaidina Umar terdapat golongan bukan Islam iaitu golongan Kritian dari Bani Thaglib yang setuju membayar cukai sepertimana zakat yang dibayar oleh orang Islam namun mereka tidak setuju dengan kalimah jizyah. Malahan mereka sanggup bayar berganda asalkan tidak digunakan kalimah jizyah. Umar sebagai seorang yang faqih bersetuju tidak menggunakan kalimah jizyah kepada golongan Kristian Bani Taghlib tersebut dan menerima bayaran cukai yang mereka bayar . Umar berkata “ mereka ini ( golongan Bani Taghlib ) ini golongan yang tidak faham, mereka bersetuju dengan makna tetapi menentang nama !! ( lihat m/s 14 Kitab “Al-Aqaliyyat Al-Dinniyyah Wa Al-hallu Al-Islami Karangan Yusuf Al-Qaradawi )

Kesedian Umar tidak menggunakan kalimah jizyah meskipun ia adalah kalimah yang wujud di dalam Al-Quran menunjukkan kebijaksanaan Umar dan sikap toleransi yang amat tinggi yang beliau tonjolkan.

Berdasarkan apa yang Syaidina Umar lakukan itu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan “ begitu juga sekiranya istilah Ahlul Zimmah menyusahkan golongan bukan Islam tiada masalah digugurkan kalimah itu dan cukup mengekalkan istilah rakyat sebagaimana yang digunakan sekarang “

Tuesday, June 01, 2010

RAKYAT GILA BOLA ,UMNO GILA JUDI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila Rejim Najib melalui Awang Adek mengumumkan bahawa Kerajaan bersedia meluluskan aktiviti judi bola saya menganggap Awang Adek seorang yang jujur . Beliau jujur mendedahkan kepada rakyat tentang identiti atau wajah sebenar Umno- parti yang ketagih dan gila judi.

Sebagai parti sekular , bagi Awang Adek, Umno tidak perlu takut untuk mendedahkan kepada rakyat tentang identiti sebenar Umno. Ya, judi adalah haram berdasarkan wahyu yang qati’e . Melakukan perbuatan haram boleh membawa kepada neraka. Tetapi itu semua doktrin yang PAS pegang. Umno bukan PAS. PAS parti Islam, Umno parti sekular. Mana boleh sama. Bagi Umno apa kena mengena dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam perjuangan politik. Bukankah mantan Presiden Umno pernah mengatakan tindakan PAS yang berkempen tentang syurga dan neraka adalah termasuk dalam “rasuah politik.”

Memandangkan Umno mempunyai “world view” yang jelas bertentangan dengan Pas maka kita tidak perlu risau jika Umno bersedia menghalalkan benda yang diharamkan oleh Allah. Fahaman maddiyyah ( materialism /kebendaan ) dan hedonism ( hidup ini sekadar untuk bersuka ria ) yang menjadi pegangan dan sandaran Umno tidak membenarkan Umno melepaskan peluang untuk mengisi perbendaharaan negara ini dengan hasil ekonomi – tanpa kira hasil yang halal atau haram.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada Umno ini sekular atau tidak lihatlah pendirian rasmi Umno tentang judi di Parlimen. Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya di Parlimen menyatakan di Parlimen pada 15 Disember 2004 dan dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ( 16/12/2004 ) seperti berikut :-

"Kerajaan tidak bercadang menghentikan aktiviti perjudian secara berlesen di negara ini kerana mahu bersikap adil terhadap masyarakat bukan Islam di samping membendung kegiatan bookie haram. Sehingga kini terdapat 1,822 lesen diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti ini, sama ada cabutan loteri Magnum, Toto, 1+3D dan kegiatan judi di premis-premis hiburan,'' .

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan tidak berhasrat menghentikan kegiatan itu kerana perjudian merupakan satu budaya kepada kaum-kaum tertentu.

"Ada kaum yang mempunyai budaya berjudi, jadi kita perlu bersikap adil kerana walaupun kita adalah negara Islam tetapi Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan dan agama,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ratnam a/l Muthiah dalam sesi Dewan Negara.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan hari cabutan loteri Magnum, Toto dan 1+3D kerana ia akan mengurangkan pendapatan melalui cukai.

"Jika kita kurangkan kepada satu minggu sekali cabutan, kita akan kehilangan cukai RM620 juta dalam tempoh satu tahun,'' katanya.

Bagi Umno tidak merebut peluang untuk mengisi perbendaharaan negara dengan wang melalui aktiviti judi yang berleluasa dalam pesta bola piala dunia ini adalah satu kerja bodoh. Bukankah dengan membenarkan aktiviti judi semasa pesta bola piala dunia ini akan menyebabkan Kerajaan dapat menjana kewangan melalui cukai yang akan dibayar oleh tauke-tauke judi. Rasional Umno adalah daripada membiarkan taukeh-taukeh judi ini berjudi secara tidak sah lebih baik Kerajaan sahkannya melalui perlesenen. Bukankah taukeh judi ini akan membayar cukai yang banyak kepada Kerajaan jadi mengapa Kerajaan harus lepaskan peluang keemasan ini.

Bukankah mantan Perdana Menteri Singapura sendiri Lee Kuan Yew, hujah Umno, pernah menyatakan Kerajaan Singapura sepatutnya lebih awal membenarkan dan menggalakkan industri judi di negara itu sepertimana Kerajaan Malaysia lakukan dengan kewujudan mahligai judi di Genting. Lee Kuan Yew memuji Malaysia kerana pandai menjana kewangan melalui industri judi di Genting . Pujian Lee Kuan Yew bukan meresahkan Umno sebaliknya menyeronokkan Umno. Pujian itu juga memberi inspirasi baru kepada Umno. Umno kini dengan lantang dan mendabik dada menyatakan “ Wahai Lee Kuan Yew lihatlah kami bukan sahaja ada Genting tetapi kami juga menghalalkan judi semasa pesta bola piala dunia.”

Isu judi ini juga mendedahkan sikap hipokrit Umno yang amat jelas. Semasa kempen Piliharaya kecil Hulu Selangor, Umno tanpa rasa segan dan malu sanggup berkempen bermatian-matian untuk memberitahu rakyat di sana bahawa mereka perlu menolak Zaid Ibrahim kerana beliau adalah kaki arak. Cara Umno berkempen seoalah-oleh arak adalah sesuatu yang jijik bagi Umno . Dalam kempen pilihanraya itu Umno gagal menerangkan kepada rakyat jka Zaid Ibahim perlu ditolak kerana dilabelkan kaki arak Umno sudah tentu lebih aula ditolak kerana membenarkan kilang arak didirikan dan industri judi dihalalkan dan kini dikembangkan .

Mana –mana Kerajaan yang membenarkan aktiviti judi pada hakikatnya menggalakkan rakyatnya untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan .Judi ( maisir ) bagi Islam adalah bentuk aktiviti gharar ( tidak pasti ) iaitu yang bagi ahli ekonomi dikatakan sebagai “ a zero sum game which risky payoff” . “Zero sum game” bermaksud orang yang menang dalam judi adalah di atas kerugian orang lain kerana judi adalah aktiviti yang tidak bersandarkan kepada kemahiran dan kecekapan sebaliknya hanya kepada tuah semata-mata. Seorang ahli ekonomi barat . Goodman, menyatakan peningkatan industri judi pada tahun-tahun kebelakangan ini di Amerika adalah disebabkan adalah kerana “ the growing tendency to rely on economic ventures of chance as opposed to those involving skill and real work “ ( kecenderungan untuk berngantung kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang berdasarkan tuah daripada aktiviti-aktiviti yang berdasarkan kemahiran dan kerja-kerja yang sebenar )

Saya minta maaf jika tersilap. Tetapi saya tidak nampak golongan agama di dalam Umno dan di luar Umno yang lantang menyerang Pakatan Rakyat lantang juga menyerang Umno di dalam isu judi ini. Saya tak nampak Mufti Perak bersuara dalam isu ini. Jika dalam isu Nizar memegang lilin sepantas kilat Nizar di”fatwakan” terlibat dalam perkara-perkara yang melanggar hukum agama mengapakah dalam isu judi bola ini “fatwa” sebegitu tidak keluar dari mulut-mulut golongan –golongan agama tertentu sedangkan hukum judi adalah lebih jelas.

Apapun pesta bola piala dunia ini mewujudkan dua golongan yang gila dalam masyarakat – rakyat gila bola Umno pula gila judi!!!