Monday, March 29, 2010

ULAMA TIADA KUASA VS ULAMA ADA KUASA

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu. Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.

Monday, March 08, 2010

UMNO PERLUKAN ZULKIFLI NORDIN BUKAN PAS

Sebagai salah seorang pemimpin PAS Pusat saya tidak boleh menerima apa-apa alasan/ justifikasi sekiranya PAS bersedia menerima semula Y.B Zulkifli Nordin sebagai ahli PAS. Kecualilah PAS ingin diporakperandakan seperti mana Zulkifli berjaya memporak perandakan PKR sebelum ini.

Zulkifli adalah liabliti bukan aset kepada PAS- dan juga mungkin kepada mana-mana parti politik . Tidak tahulah kalau Umno anggap beliau sebagai aset. Saya percaya bagi UMNO Zulkifli hanya berguna selagi beliau berada di PKR atau Pakatan Rakyat kerana bodohlah jika Umno tidak suka pemimpin Pakatan sendiri ingin hancurkan Pakatan !!! Ringkasnya Zulkifli hanya berguna kepada Umno selagi Umno boleh gunakan atau salahgunakan beliau.

Bagi mereka yang tidak tahu dan tidak sedar ,untuk rekod, PAS sebelum ini telah pernah membuat keputusan memecat Y.B Zulkifli apabila beliau melanggar keputusan Majlis Syura yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam pilihan raya. Bayangkan semasa beliau masih dalam PAS , beliau dengan tanpa rasa bersalah bertanding dalam pilihan raya atas tiket parti lain tanpa restu parti.

Jadi jika sekarang beliau ingin berhajat masuk balik kepada PAS , kita ingin mengatakan : Maaf Zul we know who you are and sorry we are not impressed at all with your behaviour and conduct. We believe you should resign as MP and just sit at home and do nothing. Many believe that you are menace to any political party in this country. If you still have dignity please resign within 24 hours from the date hereof !!!

Tuesday, March 02, 2010

MELIHAT ASPEK KEADILAN HUKUMAN SEBATAN

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Isu sebatan ke atas orang Islam sering menjadi perbahasan hangat. Sebelum ini kita didedahkan dengan isu hukuman sebatan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno. Pada 20 Julai 2009 Kartika telah dikenakan hukuman sebatan sebanyak enam kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan di atas kesalahan meminum arak

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan tiga orang wanita yang dikenakan hukuman sebatan adalah kes pertama di mana wanita Islam dihukum di bawah kesalahan syariah.

Beliau memberitahu media bahawa dua wanita tersebut dikenakan masing-masing enam rotan manakala seorang lagi pula dikenakan empat sebatan sahaja. Ketiga-tiga wanita tersebut telah didapati bersalah melakuakn kesalahan persetubuhan haram ( zina ) di bawah seksyen 23 ( 2 ) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 . Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengenakan hukuman sebat ke atas tiga wanita tersebut antara bulan Disember 2009 dan Januari 2010.

Menurut Hishamuddin berdasarkan wawancara dengan ketiga-tiga wanita tersebut setelah hukuman sebatan dikenakan ke atas mereka , mereka tidak mengalami sebarang luka atau tanda-tanda kecederaan ke atas tubuh badan mereka. Ketiga-tiga wanita tersebut menyatakan bahawa hukuman sebatan ke atas mereka telah membawa kesan yang mendalam ke atas mereka dan mereka merasa kesal dengan apa yang mereka lakukan dan telah bertaubat.

Hishamuddin seterusnya berkata “ saya berharap tidak ada lagi isu yang timbul dari hukuman sebatan ini di mana Mahkamah Syariah boleh kenakan ke atas tiga wanita tersebut kerana dengan menimbulkan isu ini ia boleh menjejaskan kesucian Islam itu sendiri. Hukuman ( sebatan ) itu adalah bertujuan untuk membuatkan mereka ( pesalah ) bertaubat dan mendapatkan keampunan Allah. Ia juga bertujuan untuk mendidik orang Islam untuk mengikuti ajaran Islam.”

Saya amat tertarik apabila Hishamuddin menyatakan bahawa hukuman sebatan ini adalah bertujuan mendidik orang Islam untuk mengikuti ajaran Islam. Untuk Hishamuddin dan ahli-ahli partai yang beliau dokongi kita ingin mengajak mereka untuk merenung kalimah “ mendidik orang Islam untuk mengikuti ajaran Islam”.

Mari kita perhatikan adakah Umno bersedia untuk dididik dengan ajaran Islam yang sebenar ? Ajaran Islam sebenar menyatakan hukuman ke atas penzina adalah sama ada hukuman sebatan 100 rotan ke atas penzina ghayru muhsan dan rejam sampai mati bagi penzina muhsan ( yang dah berkahwin ).

Setakat yang Islam ajar hukuman enam sebatan tidak wujud kerana zina adalah termasuk dalam hukuman hudud bukan takzir. Jadi jika Umno ingin didik rakyat untuk mengikuti ajaran Islam sebenar, Umno mesti memberitahu kepada orang Islam apa yang dijalankan ke atas tiga wanita tersebut tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar kerana kami ( Umno ) masih tidak berani ingin mengamalkan ajaran Islam yang sebenar meskipun kami ada kuasa.

Saya tidak pasti sama ada hukuman sebatan ke atas tiga wanita tersebut dijalankan secara terbuka di khalayak ramai. Dalam sistem perundangan Islam bagi mereka yang dihukum dengan hukuman sebat atau rejam kerana terlibat dengan zina hukuman tersebut hendaklah dijalankan di khalayak ramai bagi mendidik bukan sahaja pesalah tetapi juga bakal-bakal pesalah yang mungkin ada niat ingin melakukan kesalahan yang sama.

Berkaitan dengan kes zina ini ajaran Islam juga bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina sahaja malahan Islam juga melarang segala perbuatan yang boleh membawa kepada penzinaan melalui kaedah yang dikenali sebagai sadd al-dzaraie’ ( menutup segala ruang yang membawa kepada penzinaan ) . Justeru itu Islam melarang pergaulan bebas lelaki dan wanita , pemakaian yang menjolok mata, segala bentuk hiburan yang melampau, filem lucah dan separa lucah dan apa-apa sahaja tindakan yang boleh membawa manusia kepada penzinaan.

Di atas kesedaran bahawa ransangan kepada seks boleh berlaku sejak usia yang begitu muda , Islam sejak awal menyuruh ibu bapa mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan. Arahan Islam ini sekaligus menuntut agar pihak berkuasa ( negara ) bertanggungjawab memastikan agar sistem perumahan mengambil kira hal tersebut.

Persoalannya adakah Umno sebagai pihak yang ada kuasa mengambil berat hal-hal tersebut. Bukankah setiap kali sambut tahun baru masehi pemimpin Umno bersama-sama meraikan hiburan yang melampau dengan anak-anak muda.

Apabila isu sebatan ini timbul saya lihat Sisters in Islam (SIS) juga akan sentiasa mengambil peluang untuk memberikan komen mereka. Dalam isu sebatan ini ahli Lembaga SIS menyatakan hukuman sebatan adalah tidak boleh diterima dan boleh dilihat sebagai satu hukuman yang keras dan ini bertentangan dengan usaha Kerajaan untuk menonjolkan Malaysia sebagai model negara Islam yang sederhana.

SIS menyatakan “Foreigners are interested to come to our country because of the moderate image we portray but, when they come here, they are shocked to find the level of conservatism practised. So where is this model Muslim country we have been trying to promote?”
( Terjemahan : Orang asing berminat untuk datang ke negara kita kerana imej sederhana yang kita tonjolkan tetapi apabila mereka datang ke sini, mereka terkejut untuk mendapati tahap konservatisme yang kita amalkan. Jadi di manakah model negara Islam yang kita sedang usaha promosikan ? )

Pengarah eksekutif SIS Dr Hamidah Marican pula menggesa Kerajaan menghapuskan undang-undang yang membenarkan hukuman sebatan sama ada hukuman sebatan di dalam undang-undang sivil mahupun undang-undang syariah. Bagi beliau hukuman sebatan itu adalah satu bentuk seksaan ( torture ) dan melanggar hak asasi manusia.

Hujah SIS amat rapuh sekali. Hukuman sebatan ada di dalam Al-Quran jadi bagaimanakah SIS ingin menbatalkan apa yang dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Hukuman sebat yang keras hanya terpakai ke atas hukuman sebatan di dalam undang-undang sivil sahaja dan tidak kepada undang-undang Islam.

Sebatan di dalam undang-undang sivil menyiatkan kulit pesalah dan mendatangkan luka yang amat dalam. Ia tidak berlaku di dalam undang-undang sebatan di dalam Islam. Jadi untuk menyamakan kedua-dua hukuman sebatan Islam dengan undang sivil adalah “qiyas ma’al fariq ( membuat analogi perkara yang tidak sama ).

Jika SIS mengatakan hukuman sebat adalah satu penyikasaan mengapakah mereka tidak mengatakan hukuman penjara. ,hukuman denda dan hukuman mati juga sebagai satu seksaan ? Hukuman penjara sebagai contoh bukan sahaja menyiksa pesalah tetapi juga keluarga pesalah. Sebenarnya mana-mana hukuman di dalam kes jenayah sama ada di dalam undang-undang Islam atau mana-mana undang-undang adalah satu bentuk seksaan ke atas pesalah. Yang berbeza adalah tahap seksaan itu.

Jika sebatan ke atas penzina adalah satu seksaan perbuatan zina itu sendiri juga menyiksa orang lain. Ia boleh menyebabkan Kerajaan terpaksa menyediakan pusat-pusat khidmat bagi menjaga perempuan yang ditinggalkan lelaki yang berzina dengannya. Ini adalah seksaan kepada pembayar cukai di mana wang mereka digunakan untuk membantu penzina.

Zina juga bukan sahaja menyiksa bayi-bayi yang tidak berdosa malahan turut meragut nyawa mereka. Media sering mendedahkan bagaimana bayi-bayi yang lahir dari jenayah zina diperlakukan dengan zalim seperti membuang mereka di dalam lubang tandas dan atau di tong sampah dan tempat-tempat yang tidak pernah kita jangkakan.

Zina juga menyiksa maruah dan harga diri keluarga penzina. Cuba banyangkan perasaan ibu bapa yang mempunyai anak yang terbabit dengan penzinaan.

Zina juga boleh menyiksa tubuh badan manusia yang Allah amanahkan kepada manusia. Penyakit-penyakit kelamin seperti Siflis dan penyakit AIDS adalah berpunca dari zina. Apa yang lebih malang kadangkala penyakit yang dideritai oleh penzina tidak semena-mena berjangkit kepada golongan yang tidak berdosa.

Hanya orang yang tidak jijik dengan zina sahaja gagal memahami kerosakan yang zina bawa kepada masyarakat.