Monday, July 27, 2009

SURUHANJAYA DIRAJA ATAU SARKAS DIRAJA ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apabila ditanya oleh wartawan adakah beliau didesak untuk mengadakan Suruhanjaya Di Raja ( SR ) di dalam kes kematian Teoh Beng Hock , Najib menafikan hal tersebut. Beliau mengatakan bahawa sebab mengapa beliau bersetuju mengadakan SR adalah kerana ingin mencari kebenaran.

Betulkah Najib berminat ingin mencari kebenaran ? Apabila beliau dan Kabinet beliau bersetuju menubuhkan SR nampak pada zahirnya beliau seolah-oleh serius ingin mencari kebenaran. Namun apabila skop SR hanya dihadkan untuk menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) jelaslah Najib bukan berminat mencari kebenaran. Apa yang jelas Najib ingin mengkebumikan kebenaran !

Najib melalui Ghani Patail ( Ya, beliau adalah Peguam Negara ) terdesak mencari dalil dan alasan bagi menjustifikasikan tindakan beliau yang menghadkan terma rujukan SR hanya kepada menyiasat cara atau kaedah penyiasatan yang digunakan oleh SPRM.

Najib menyatakan bahawa beliau terikat dengan undang-undang. Beliau telah dinasihati oleh Ghani Patail bahawa sebab kematian Teoh Beng Hock perlu ditentukan oleh satu inkues di bawah seksyen 339 (1) Kanun Prosedur Jenayah ( KPJ ) . Di bawah seksyen 339 ( 1 ) KPJ , Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan Majistret untuk mengadakan siasatan di atas kematian seseorang.

Ghani berhujah bahawa KPJ adalah undang-undang khusus yang mempunyai peruntukkan mengenai satu siasatan bagi kes-kes kematian . Oleh itu , hujah Ghani, inkues adalah mandatori bagi menentukan sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock dan bukannya SR yang menjalankan tugas atau peranan tersebut. Ghani menambah jika SR juga menjalankan tugas menyiasat sebab kematian mendiang Teoh maka SR akan menjalankan tugas yang bertindih dengan tugas Mahkamah .

Ghani juga berhujah bahawa orang awam tidak patut keliru peranan SR yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan inkues yang diwujudkan di bawah KPJ . Beliau berhujah bahawa seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 ( Commissions of Enquiry Act 1950 ) secara jelas merujuk kepada penyiasatan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam ( lihat seksyen 2 ( 1 ) ( a ) ) dan Jabatan Kerajaan ( 2 ( 1 ) ( b ) .

Oleh itu Ghani menambah peranan SR tidak boleh diluaskan bagi menyiasat kes kematian kes Teoh Beng Hock kerana siasatan oleh pihak Majistret adalah lebih betul dan disokong oleh undang-undang .

Ghani berkata adalah tepat peranan SR hanya dihadkan kepada menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh SPRM.

Komen saya terhadap kenyataan Ghani di atas : Wahai Peguam Negara, janganlah berbohong kepada rakyat !!

Pertamanya mari kita lihat hujah beliau bahawa inkues adalah mandatori ( wajib ) bagi menyiasat kes-kes kematian seperti kes Teoh Beng Hock. Baiklah jika kita menerima hujah tersebut kita berhak bertanya mengapakah sehingga kini beliau sebagai Peguam Negara tidak melaksanakan tugas dan peranannya di bawah seksyen 339 ( 1 ) KPJ bagi mengarahkan satu inkues diadakan bagi menyiasat kes A.Kugan yang mati di dalam tahanan polis iaitu di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Disember 2008. Mengapakah tiada inkues dibuat di dalam kes Memali ?

Kes A.Kugan menimbulkan dua pertanyaaan yang sehingga kini masih gagal dijawab oleh Kerajaan. Pertamanya sebab –sebab kematian beliau di dalam tahanan polis. Kenapakah, mengguna pakai hujah Ghani, inkues tidak dibuat bagi menyiasat hal tersebut. Keduanya kes A.Kugan juga menimbulkan isu teknik penyiasatan pihak polis . Mengapakah Ghani sebagai Penasihat Undang-undang Kerajaan tidak menasihati ditubuhkan SR bagi menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh pihak polis.

Ghani berhujah SR tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat sebab-sebab kematian Teoh kerana di bawah seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 ( Commissions of Enquiry Act 1950 ) penyiasatan SR hanya dihadkan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam dan jabatan Kerajaan sahaja

Di sini jelas Ghani berbohong dan sengaja tidak membaca seksyen 2 secara keseluruhan. Atas sebab yang hanya Ghani tahu, Ghani hanya membaca seksyen 2 ( 1 ) ( a ) dan ( b ) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dengan sengaja meninggalkan seksyen 2 ( 1 ) ( d ) Akta yang sama.

Seksyen 2 ( 1 ) ( a ) menyatakan bahawa Yang DiPertuan Agung boleh mengarahkan penubuhan SR bagi menyiasat tindakan pegawai-pegawai Persekutuan dan seksyen ( 2 ( 1 ) ( b ) pula bagi menyiasat tindakan dan pengurusan jabatan Kerajaan yang menjalankan tugas-tugas awam

Apakah pula yang dikatakan oleh seksyen 2 ( 1 ) ( d ) Akta tersebut ? Seksyen tersebut menyatakan bahawa Yang DiPertuan Agung boleh mengarahkan penubuhan SR bagi menyiasat perkara-perkara lain ( any other matter ) yang menurut perkiraan Yang DiPertuan Agung perkara-perkara itu untuk kemaslahatan awam ( public welfare ).

Jelas seksyen 2 ( 1 ) ( d ) memberi suatu kuasa yang amat luas kepada SR yang mana kuasa tersebut adalah merangkumi bagi tujuan kemasalatan awam menyiasat sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock. Di negara lain seperti Australia yang mana Malaysia juga meniru Akta tersebut dari negara tersebut, adalah menjadi perkara biasa siasatan dilakukan oleh SR bagi menyiasat sebab-sebab kematian seseorang khususnya kematian misteri .

Mengenai hujah Ghani jika SR diberikan tugas menyiasat kematian Teoh akan berlaku pertindihan tugas , jawapan kita pada hujah mengarut tersebut adalah begini : Jika Ghani atau Najib tidak mahu pertindihan tugas cukuplah diberi kuasa SR untuk menyiasat kedua-dua perkara iaitu teknik siasatan SPRM dan sebab-sebab kematian Teoh. Tidak perlu inkues kerana ia akan bertindih tugas dengan SR dan membazir wang rakyat !!

Mengapa rakyat mahukan SR bagi menyiasat kematian Teoh ? Jawapannya kuasa SR adalah lebih luas dari kuasa seorang Majistret di dalam siasatan inkues. SR sebagai contoh boleh memanggil mana-mana orang dan juga boleh menerima apa-apa keterangan termasuk keterangan yang sekiranya dikemukakan di Mahkamah akan ditolak ( lihat seksyen 8 ( f ) Akta tersebut ).

SR yang ditubuhkan sekadar menyiasat teknik penyiasatan SPRM adalah SR yang ditubuhkan untuk tujuan hiburan semata-mata . Adakah Najib inginkan Suruhanjaya DiRaja atau Sarkas DiRaja ?

Wednesday, July 22, 2009

Kematian Teoh Beng Hock dedah pekung Barisan Nasional

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Kematian Teoh Beng Hock dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu membuka pelbagai pekung Barisan Nasional.

Kematian Teoh Beng Hock menimbulkan isu teknik siasatan SPRM yang secara jelas bersifat satu seksaan ( torture ) ke atas mereka yang disiasat oleh badan itu. Teknik “torture” ini juga dilakukan oleh pihak polis ke atas mereka yang ditahan di bawah ISA. Yang menghairankan Nazri Aziz tidak segan silu menyokong teknik penyiasatan SPRM tersebut.

Ketua Polis Selangor mengesahkan bahawa rakaman CCTV menunjukkan Teoh iaitu mantan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu. Bagaimanapun siasatan hanya berakhir jam 3.45 pagi Khamis.

Siasatan untuk tempoh yang lama tersebut dengan menafikan hak Teoh untuk tidur adalah semata-mata bertujuan menyiksa mental dan emosi Teoh bagi memudahkan SPRM mendapatkan pengakuan dan maklumat-maklumat tertentu dari Teoh.

PAS menentang cara penyiasatan yang berbentuk penyiksaan sebegini kerana Islam melarang sebarang bentuk “dhorar” berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w “ La dhorar wala dhiror fi al-Islam” ( tidak boleh menyiksa dan tidak boleh disiksa dalam Islam” ).

Al-Quran sendiri secara jelas menyatakan bahawa “ Allah telah memuliakan Bani Adam” ( Al-Isra’ : 17 : 70 ).

Jenayah penyiksaan ( torture ) pemerintah ke atas rakyat telah dinyatakan di dalam Al-Quran melalui kisah Firaun . Di dalam Surah Tho Ha, Allah s.w.t menyatakan

"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya ( Firaun ), kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka” ( 20 : 47 )

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad di dalam sanadnya , Rasulullah s.a.w menyatakan “ Sesungguhnya Allah s.w.t akan mengazab mana-mana orang yang menyiksa manusia di dunia ini.” ( lihat Sunan Abu Dawud Vol 1V m/s 865 dan Musnad Ahmad b.Hanbal Vol 111 m/s 404 al-Maktab Al-Islami , Cairo )

Dalam satu lagi Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ( radiyallah ‘an huma ) , Rasulullah s.a.w menyatakan bagaimana seorang wanita akan masuk neraka kerana penyiksaan yang perempuan itu lakukan ke atas seekor kucing .

Rasulullah s.a.w menyatakan “ Telah masuk seorang wanita ke dalam neraka kerana beliau mengikat kucingnya dengan tidak memberi makan kepada kucing itu dan tidak melepaskannya untuk makan makanannya yang melata di muka bumi” ( lihat Sahih Bukhari , Vol 1V m/s 337 )


Dalam Kitab Al-Kharaj karangan Abu Yusuf dilaporkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz telah menulis kepada pegawai-pegawainya dengan melarang mereka mengikat para banduan dengan rantai atau gari dan memerintahkan mereka member makan secukupnya kepada para banduan dari wang Baitul Mal ( Lihat Abu Yusuf, Kitab Al Kharaj m/s 314-315 )

Imam Ibn Hazam pula menyatakan di dalam Al-Muhalla bahawa Al-Quran atau Al-Sunnah atau Ijma’ tidak membenarkan sebarang penyiksaan dalam bentuk elemen pukul, pemenjaraan , ancaman atau penghinaan bagi tujuan mendapatkan pengakuan seseorang kononnya beliau melakukan jenayah . Ibn Hazam menyatakan bahawa larangan penyiksaan tersebut adalah berasaskan bahawa kulit, darah dan kemuliaan insan adalah suatu yang suci dan tidak boleh dicabuli melainkan dengan satu nas yang terang dan jelas atau dengan satu ijma’.

Berdasarkan nas-nas di atas , PAS menentang sekeras-kerasnya teknik dan gaya penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM ke atas mendiang Teo kerana ianya adalah satu kaedah yang tidak menghormati kemuliaan manusia tanpa mengira kaum atau agama mereka.

PAS meminta mereka yang didapati terlibat dengan penyiasatan ala Gestapo tersebut atau mereka yang mengizinkan teknik penyiasatan tersebut di bawa ke muka pengadilan . Seksyen 331 Kanun Keseksaan mungkin boleh digunakan ke atas mereka yang terlibat dengan penyiksaan ke atas mendiang Teo sehingga membawa kepada kematian beliau.

Kes Teo juga menunjukkan satu amalan diskriminasi yang ketara di pihak SPRM. SPRM seperti biasa agak cepat bertindak jika tuduhan rasuah atau salah guna kuasa dibuat ke atas ahli-ahli politik Pakatan Rakyat . Bagaimana tahap kelajuan penyiasatan kes rasuah dan salah guna kuasa akan berubah dengan drastik jika ia melibatkan para pemimpin Umno.

Dalam kes di Selangor , SPRM cepat menyiasat Mentei Besar Tan Sri Khalid dalam kes korban lembu di mana Pengarah SPRM dengan sombong dan bongkak menyatakan “ kita ada bukti yang kuat untuk mendakwa Tan Sri Khalid” . Dalam kes penyiasatan ke atas Teo kita juga dapat melihat ketergesaan SPRM. Namun apabila terdapat aduan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Khir Toyo kita tidak melihat kelajuan yang sama.

Untuk peringatan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah sebelum ini mendedahkan tiga penyelewengan Datuk Seri Khir Toyo ketika memimpin negeri itu sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Penyelewengan berkenaan membabitkan tindakan cuba mengelak cukai, menukar sistem perakaunan anak syarikat kerajaan negeri, dan pembelian apartmen di Mekah “untuk tujuan yang meragukan”.

Tan Sri Khalid berkata, Khir semasa menjadi Menteri Besar mempengerusikan tiga syarikat negeri dan mendapat imbuhan tiga buah kereta tetapi ini tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Salahguna kuasa kedua yang dilakukan Khir Toyo ialah menerima hadiah jam tangan bernilai RM 150,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad atau PNSB,” katanya.

Beliau berkata, apabila menyedari menerima habuan seperti itu adalah satu kesalahan, Khir cuba membayar balik secara memasukkan wang tunai RM150,000 ke dalam akaun syarikat.

Selain itu, kata Tan Sri Khalid, Khir Toyo juga membuat pembelian apatmen di Mekah untuk “kegunaan beberapa anak Selangor yang terpilih sahaja” dengan perbelanjaan lebih RM 9 juta.

Dan yang terbaru adalah pendedahan Adun Sekinchan ke atas kos banglo mewah Khir Toyo yang didakwa terlalu tinggi.

Kita ingin bertanya apa yang SPRM telah lakukan ke atas Khir Toyo?