Thursday, July 31, 2008

PAS tolak tawaran Umno, tapi terus berbincang demi kepentingan ummah

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu | Jul 31, 08 | 5:03:58 pm MYT

PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri.


Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.

Bagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.

Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)

31 Julai, 2008


MY COMMENTS ARE AS FOLLOWS :-

1. Alhamdulillah this issue has been settled. With the latest statements by our President it is hoped that all the doubts lingering in our mind have been erased once and for all.

2. Let bygone be bygone. Now it is important for us to stand united against any elements who try to disunite us.

3.As for the PAS leaders , this sad episode serves as a good lesson for all of us. One thing for sure do not ignore the sentiments and perceptions of our members.

4. As for the non muslims who supported us, we will never betray your trust and confidence on us.

5. As for UMNO show us your sincerity. Only then any discussion with your party is going to be fruitful. We have been too long deceived by you. Let us remind you if you keep on abandoning AlQuran and Al-Sunnah in your struggle the so called victory you have achieved in this world is fruitless and meaningless in the eyes of Allah. Remember leadership is amanah ( a trust ) not a licence to enrich yourselves.

6. For all the readers of my blog thank you for all the comments you have posted in this blog. Rest assured I am not offended with any harsh remarks and criticism levelled against me. On the contrary they help me a a lot. I am not going to edit any posting in this blog. Every opinion is respected here.

7. Keep on supporting PAS !!! PAS IS FOR ALL.

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saturday, July 26, 2008

PAS MUNGKIN AKAN SUKAR DIPERCAYAI LAGI SELEPAS INI

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apa yang saya tulis diblog ini adalah pendapat peribadi saya. Saya tidak menulis atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat. Tulisan ini menggambarkan betapa frustnya saya ( dan mungkin juga ahli-ahli PAS yang lain ) apabila Dato’Presiden PAS mengakui bahawa terdapat pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen .

Terus terang sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat ,saya tidak mempunyai pengetahuan langsung pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen. Presiden PAS menyatakan ianya dimaklumkan kepada beliau dan Majlis Syura Ulama’. Saya kurang faham dengan alasan ini. Setahu saya Majlis Syura akan hanya dilibatkan jika isu ini melibatkan soal hukum. Saya tidak nampak pertemuan dengan UMNO melibatkan soal hukum . Ia lebih kepada isu strategi- di bawah bidangkuasa Jawatankuasa PAS Pusat.

Tidak mengapa, saya akan bertanyakan hal ini di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat nanti.

Saya tidak pernah percaya kepada UMNO. Atas dasar itu saya menyokong PAS sejak dibangku sekolah lagi . Saya orang Johor. Saya menyokong PAS ketikamana orang di negeri saya masih memandang PAS sebagai satu parti yang begitu asing. Saya menyokong PAS kerana yakin bahawa Parti tersebut ingin mendaulatkan Islam. UMNO adalah parti yang banyak jenayahnya terhadap Islam. Kesalahan ulung UMNO adalah mencipta Islam hadhari. Presiden PAS menulis sebuah buku bagi menyerang Islam Hadhari kerana Islam Hadhari telah membawa umat Islam keliru dengan Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya.

Pilihanraya yang lepas UMNO bermatian-matian ingin merampas Kelantan- sebuah negeri yang diperintah oleh PAS . Kelantan adalah benteng terakhir untuk Islam didaulatkan di negara ini. Saya mengakui saya masih belum berpuashati dengan perlaksanaan Islam di Kelantan. Gelagat sesetengah pemimpin PAS di Kelantan amat memualkan hati saya meskipun saya adalah ahli dan pemimpin PAS. Kelantan bukan model yang terhebat di dalam mendaulatkan Islam di negara ini. Ini tidak pelik kerana berdasarkan sistem federalism yang diamalkan di negara ini kuasa Kerajaan Kelantan untuk menegakkan Islam di dalam erti kata yang sebenarnya terhalang oleh banyak halangan . Namun siapa boleh menafikan bahawa Kelantan telah banyak berusaha melaksanakan Islam yang jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum PAS mengambil alih pada tahun 1990.

Saya penuh yakin Tuan Guru Nik Aziz telah berusaha keras untuk mendaulatkan Islam di Kelantan. Moga Allah merahmati beliau di atas usaha murninya itu.
Atas dasar itu saya sama sekali tidak boleh menerima tindakan UMNO yang bermatian-matian ingin merampas Kelantan dari PAS. Sahabat saya Y.B Salahudin menyatakan kepada saya semasa tempoh kempen pilihanraya yang lalu, beliau dapat meraskan betapa cemasnya pemimpin PAS dengan serangan hebat UMNO yang ingin merampas balik Kelantan.

Bagaimanapun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hasrat dan niat jahat UMNO ingin merampas Kelantan menyaksikan Kerajaan PAS kekal dengan selesa di Kelantan sebaliknya lima buah negeri yang diperintah oleh BN/UMNO sebelum pilihanraya yang lepas dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga tidak akan lupa betapa jahatnya UMNO menggunakan taktik paling kotor untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Trengganu. Rakyat Trengganu yang menyokong PAS didera dengan hebat seperti menarik balik royalti petroleum. Menteri Besar Trengganu yang sekarang ini dan UMNO Trengganu juga tidak pernah bersuara menentang tindakan zalim UMNO Pusat menarik balik royalti petroleum. Kini lepas Mahathir tidak berkuasa baru mula berani bercakap. Saya tidak hormati langsung Menteri Besar seperti ini. Apabila Pemimpin Pas Trengganu berjumpa beliau baru-baru ini ianya amat memualkan saya.

Telah menjadi pengetahuan umum sokongan orang bukan Islam menentukan kemenangan Pakatan Rakyat dan menumbangkan UMNO/BN. Meskipun media tajaan UMNO tidak henti henti cuba melakarkan PAS sebagai parti yang melampau/ekstrem dan pelbagai lakaran yang negatif, orang bukan Islam tetap menyokong PAS. Sokongan kaum India menyebabkan Dr Mariah menjadi calon PAS yang menang dengan manjoriti yang paling besar . Meskipun saya kalah di Tangjung Karang namun sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada saya.

Sokongan kaum non muslim kepada PAS Alhamdulillah berterusan selepas pilihanraya. Di Puchong telah ada penyokong PAS dari kaum India yang telah memeluk Islam. Ini satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Ada kaum India yang membubarkan cawangan MIC dan menubuhkan kelab penyokong PAS. Calon tajaan PAS di Ulu Tiram , Johor saudari Kumutha meminta ahli PAS mendoakan agar beliau terus bersama kepimpinan Ulama PAS. Permintaan kaum bukan Islam untuk menubuhkan kelab penyokong PAS semakin hari semakin meningkat. Malahan ahli-ahli kelab penyokong PAS merayu ingin menjadi ahli PAS dan meminta PAS bertindak segera menerima mereka sebagai ahli.

Malangnya semuanya ini kini mula bertukar sedikit demi sedikit apabila PAS terjebak sekali lagi dengan permainan licik UMNO. UMNO mencanangkan dan memainkan gendang muzakarah. PAS yang kita tahu dipimpin oleh orang-orang yang baik malangnya termakan dengan umpan jahat dan busuk UMNO. Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja baik dan digelar al-amin Baginda juga mempunyai sifat fathonah ( bijaksana ). Di dalam politik fathonah amat berguna.

Orang bukan Islam mula bertanya adakah PAS telah mengkhianati sokongan mereka. Semasa pilihanraya lalu kami menolak politik perkauman UMNO dan tertarik dengan mesej PAS iaitu “PAS FOR ALL” yang sesuai dengan sifat Islam yang universal. Tapi, keluh orang bukan Islam, kenapakah PAS kini mula bercakap senada dengan UMNO. Hanya beberapa bulan pilihanraya berlalu, kenapakah PAS bersedia merapati UMNO semula. UMNO yang semakin lemas kini cuba diselamatkan oleh PAS.

Ini keluhan yang serius. Pemimpin PAS khususnya Presiden dan Timbalannya harus peka dengan keluhan ini . Meringankan hal ini “is at our own peril”

Ya, Pakatan Rakyat adalah satu Pakatan yang longgar. Banyak kelemahan di sana sini. KEADILAN ada kelemahannya. DAP ada kelemahannya. PAS juga ada kelemahannya. Tetapi di sana ketiga-tiga Parti tersebut ada kekuatan yang dikongsi bersama. Kekuatannya adalah ketiga-tiga benci dan menentang kezaliman yang UMNO lakukan. Ketiga-tiganya bencikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketiga-tiganya mejuarai isu rakyat Ketiga-tiganya sedang berusaha keras ingin menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto mereka. Kekuatan inilah yang akan melahirkan satu ledakan yang kuat yang akan menghancurkan UMNO pada masa pilihanraya umum yang akan datang.

Saya tidak pasti orang bukan Islam, Parti KEADILAN dan DAP akan terus mempercayai PAS selepas ini. Saya harap mereka masih percaya. Tapi secara realistik saya yakin mereka ,kalau pun tidak hilang kepercayaan kepada PAS , tetap kurang percaya kepada PAS.

Kalau mereka hilang kepercayaan kepada PAS saya berani mengatakan ianya akibat percaturan salah sesetengah pemimpin PAS dan PAS terpaksa membayar harga yang mahal terhadap percaturan salah tersebut.

Adakah PAS boleh dianggap mengkhianati sokongan orang bukan Islam ? Hanya masa yang menentukan !!!

Monday, July 21, 2008

KES ANWAR- PEGUAM NEGARA WAJAR DIPECAT ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malahan, Perdana Menteri berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dengan kes berkenaan juga tidak akan membuat sebarang rujukan kepada Musa dan Abdul Gani.

‘‘Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tak akan terlibat, maksudnya mereka tidak akan memainkan peranan (siasatan),’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dewan Millenium di sini, hari ini.

Ditanya adakah Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar itu, Perdana Menteri menjelaskan, mereka tidak perlu digantung tugas.

‘‘Pegawai pun tidak membuat sebarang rujukan dengan mereka, jadi dengan itu saya tak nampak yang mereka perlu digantung tugas,” katanya ( lihat Utusan Malaysia 20/7/2008 )

Saya tidak pasti sama ada Abdullah mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan semasa memberikan kenyataan tersebut di atas.
Berdasarkan Perkara 145 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara bertanggungjawab di dalam pendakwaaan kes-kes jenayah. Dengan lain perkataaan budibicara untuk mendakwa kes jenayah hanya diberikan kepada beliau sahaja.

Meskipun kuasa siasatan adalah di bawah bidang kuasa polis namun Peguam Negara akan dilibatkan sama di dalam proses penyiasatan iaitu setelah sesuatu siasatan kes jenayah disempurnakan. Setelah penyiasatan kes jenayah disempurnakan oleh pihak polis , pihak polis bertanggungjawab menyerahkan `kertas siasatan ( IP – investigation papers ) `kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di dalam Negara ini.

Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menolak hasil siasatan polis dan memutuskan untuk tidak mendakwa orang yang disyaki ( suspek ). Peguam Negara juga boleh mengarahkan supaya kertas siasatan dikembalikan kepada polis supaya polis mendapatkan keterangan lanjut kerana kertas siasatan tidak sempurna. Kesimpulannya peguam Negara juga terlibat secara langsung terhadap siasatan yang dilakukan oleh polis.

Memang boleh diterima Peguam Negara terlibat dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis. Ini kerana Peguam Negara yang akan menentukan sama ada keterangan yang diperolehi oleh pihak polis di dalam penyiasatan mereka boleh diterima atau tidak mengikut lunas undang-undang.

Atas dasar itu, kenyataan Abdullah bahawa Peguam Negara tidak akan terlibat atau memainkan peranan di dalam siasatan kes tuduhan liwat kes Anwar boleh ditafsirkan sama ada bercanggah dengan Perkara 145 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan atau menganggu atau menghalang tugas dan tanggungjawab Peguam Negara.

Abdullah mungkin berniat baik ketika menyatakan bahawa Gani Patail tidak akan dilibatkan di dalam siasatan Anwar tersebut. Namun niat baik tidak boleh mengatasi peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan Abdullah secara jelas tidak mahu Gani Patail terlibat dengan siasatan kes Anwar, apa yang sewajarnya beliau lakukan adalah memecat Gani Patail sebagai Peguam Negara dan sebagai ganti beliau perlu melantik Peguam Negara yang baru kerana jelas Kerajaan di bawah pimpinan Abdullah telah hilang keyakinan ke atas Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Penggantungan tugas Peguam Negara juga tidak timbul di dalam kes ini. Jika dilihat kepada Perkara 145 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan, kuasa mendakwa ( setelah siasatan disempurnakan ) hanya diletakkan di bahu Peguam Negara sahaja. Atas dasar itu jawatan Peguam Negara, menurut hemat saya, tidak boleh digantung kerana jika Peguam Negara digantung dari tugasnya, kuasa di bawah Perkara 145 ( 3 ) akan dilakukan oleh orang lain selain daripada Peguam Negara. Ini bertentangan dengan Perkara 145 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan .

Dalam keadaan begitu, apakah pilihan Abdullah ? Jawapannya adalah sama ada beliau mesti membenarkan Gani Patail dilibatkan sama di dalam kes siasatan Anwar atau beliau bertindak lebih drastic dengan memecat Gani Patail sebagai Peguam Negara. Pilihan yang terbaik sudah tentu adalah memecat Gani Patail.

Gani Patail juga wajar dipecat kerana secara jelas beliau beliau telah dikaitkan dengan aduan salah guna kuasa berdasarkan laporan BPR yang dibuat oleh Anwar.

Jika Gani Patail masih kekal sebagai Peguam Negara di dalam keadaan terdapat satu tuduhan yang serius ke atas beliau, maka BPR akan berhadapan dengan satu konflik di dalam melaksanakan tugasnya . Proses penyiasatan aduan Anwar oleh BPR akan berakhir ke meja Peguam Negara. Dengan lain perkataan hasil siasatan BPR akan diserahkan kepada Peguam Negara.

Persoalannya masuk akalkah Peguam Negara akan menerima dengan senang hati hasil siasatan BPR terhadap diri beliau ?

Yang jelas tidak masuk akal sebaliknya hasil siasatan BPR ke atas Peguam Negara akan masuk bakul sampah !!!

Friday, July 04, 2008

ISU TUDUHAN LIWAT ANWAR - LAKSANAKAN HUKUM AL-QURAN BUKAN BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Berita TV3 malam ini ( 4/7/2008 ) menyiarkan berita bahawa Mufti Perlis meminta Anwar Ibrahim dan Saiful Bahari Azlan melakukan mubahalah. Apa yang saya faham mubahalah merupakan satu kaedah di dalam Islam ( yang ada disebut di dalam Al-Quran ) bagi menentukan kebenaran. Kedua-dua pihak yang bertikai dipertemukan dan masing-masing bersumpah sekiranya mereka tidak bercakap benar mereka akan dilaknat oleh Allah.

Ketika mengulas saranan Mufti Perlis tersebut Pengerusi Putera UMNO Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan bahawa Anwar hendaklah bersumpah dengan AlQuran daripada menggunakan media bagi membuktikan beliau tidak bersalah ( lihat Malaysiakini : Swear on the Quran, Anwar told )

Saya kurang pasti sama ada Pengerusi Putra UMNO tersebut faham dengan istilah mubahalah. Mubahalah bukan satu sumpah dengan AlQuran seperti yang didakwa . Saya rasa tidak perlulah pengerusi Putera UMNO yang kecetekan ilmu syariah dan undang-undang untuk menjuarai isu tuduhan liwat ini. Makin dia bercakap makin nampak beliau merapu.

Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu diperbetulkan kerana daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat kekeliruan di dalam kes tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim.

Pertama, ingin saya nyatakan di sini baik dari segi sisi Islam mahupun undang-undang negara ini Anwar adalah seorang individu yang dianggap tidak bersalah dan beliau juga tidak perlu sama sekali membuktikan apa-apa jauh sekali membuktikan beliau tidak bersalah.

Di dalam undang-undang yang dipakai di negara ini , bagi mana-mana pertuduhan jenayah prinsip yang terpakai adalah “seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Prinsip ini dikenali sebagai “presumption of innocence.” Prinsip ini sebenarnya diambil dari syariat Islam iaitu berasaskan kaedah “ al-aslu al-‘adam” atau pun kaedah “al-aslu –baraatun zimmah” yang juga bermaksud “seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah.

Apa yang berlaku di dalam isu dakwaan liwat ini adalah Anwar belum lagi dituduh di Mahkamah . Jadi tidak timbul beliau harus membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Jika pun beliau dituduh di Mahkamah dengan kesalahan liwat, beliau masih dianggap tidak bersalah kecuali setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah.

Yang demikian mana-mana saranan yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran supaya membuktikan beliau tidak bersalah adalah saranan yang menggambarkan seorang yang jahil dengan syariat Islam dan juga undang-undang negara ini.

Kedua, jika benar terdapat tuduhan liwat ke atas Anwar sekalipun, mana-mana pihak yang bersungguh meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran sepatutnya perlu menuntut bahawa Anwar diadili dengan hukum Al-Quran. Ulama Islam mengklasifikasikan kesalahan liwat adalah sama dengan kesalahan zina . Maka mana-mana pihak yang menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti orang yang menuduh seseorang itu melakukan zina. Menuduh seseorang berzina ( termasuk liwat ) tanpa mendatangkan empat orang saksi boleh didakwa melakukan kesalahan qazaf . Qazaf adalah hukum Al-Quran yang diklasifikasikan sebagai salah satu kesalahan di dalam jenayah hudud.

Memandangkan Anwar dituduh kononnya melakukan kesalahan liwat ke atas Saiful maka mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran sepatutnya dari segi Islam meminta supaya Saiful mendatangkan empat saksi yang melihat Anwar melakukan liwat tersebut. Kalau Saiful tidak dapat mendatangkan empat saksi tersebut mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran hendaklah meminta Kerajaan mendakwa Saiful dengan kesalahan qazaf di Mahkamah Syariah di negara ini

Berkemungkinan besar pihak yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran berhujah balas di negara ini hukum qazaf tidak dijalankan , jadi bagaimanakah Saiful boleh didakwa dengan kesalahan qazaf. Jika ini hujahnya maka jawapan saya adalah kenapakah kamu sibuk bercakap tentang Al Quran jika hukum qazaf yang terdapat di dalam Al-Quran kamu pendamkan dan tidak dilaksanakan selama puluhan tahun sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Kenapakah kamu tidak menuntut hukum qazaf tersebut dilaksanakan di negara ini agar Anwar mahupun Saiful boleh diadili oleh hukum Islam.

Tidakkah sikap kamu yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran ( yang tidak ada pun nasnya di dalam Al-Quran ) tapi tidak mahu menuntut hukum Al-Quran menjadi hukum yang dipakai bagi menyelesaikan tuduhan liwat ke atas Anwar adalah satu sikap yang dilihat berpura-pura. Saya ingin bertanya dengan Putera UMNO- betul ke kamu bersungguh dengan Al-Quran ini ? Ingat Al-Quran ini boleh jadi “hujjatun lana” ( hujah untuk kita ) atau “hujjjatun ‘alaina” ( hujah ke atas kita ).

Kesimpulannya tidak perlu Anwar bersumpah dengan Al-Quran. Mubahalah juga saya berpendapat tidak perlu kerana Anwar telah dikaitkan dengan kesalahan jenayah maka kaedah yang betul adalah Anwar mahupun Saiful sepatutnya diadili oleh sistem undang-undang jenayah Islam - sistem yang telah telah terbukti keadilannya .