Monday, November 26, 2007

ISU MATEMATIK DAN SAINS -UMNO SEDAR LANGGAR UNDANG-UNDANG ?

Isu pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris bergema sekali lagi di perhimpunan agung UMNO. Maka berbuih-buihlah mulut hipokrit -hipokrit meminta Kerajaan - Kerajaan yang sama memperkenalkan polisi ini- supaya polisi tersebut dikaji semula. Yang menghairankan semasa Tun Mahathir memperkenalkan polisi tersebut tiada lagsung kita dengar suara dari mana-mana pihak dari UMNO membantah polisi tersebut . Mulut yang berbuih-buih meminta polisi tersebut dikaji semula mulut yang sama juga berbuih-buih memuji Mahthir kerana kononnya polisi tersebut polisi yang hebat dan untuk kemajuan rakyat negara ini. Masa itu tiada siapa yang peduli dengan komen-komen dari pakar-pakar pendidikan seperti Prof Ungku Aziz yang mengkritik hebat polisi yang diibaratkan oleh Pak Ungku sebagai polisi "tikus menebuk labu".

Untuk para pembaca sekelian ingin saya maklumkan bahawa polisi tersebut telah dicabar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh para emapat orang pelajar melayu daripada Negeri Perak. Kebetulan saya peguam mereka. Untuk berkongsi dengan pembaca saya kemukakan di sini hujah yang saya berikan di Mahkamah berhubung isu tersebut.. Mahkamah telah menetapkan bulan Januari 2008 ini untuk peguam Kerajaan manjawab hujah saya tersebut.

Melalui Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif-Plaintif ( selepas ini dirujuk sebagai Plaintif sahaja ) Plaintif memohon daripada Mahkamah yang mulia ini perintah-perintah berikut ( a. ) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan ( SK ), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT ), Sekolah Menengah ( SM ) dan Tingkatan Enam mulai tahun 2003 ( selepas ini disebut Pekeliling 11 ) adalah tidak berperlembagaan ( unconstitutional ), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan ; ( b.) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 12/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC ) mulai tahun 2003 ( selepas ini disebut Pekeliling 12 ) adalah tidak berperlembagaan ( unconstitutional ), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan ; ( c ) Deklarasi bahawa Defendan tidak mempunyai kuasa dan budibicara untuk memperkenalkan , menguatkuasakan dan melaksanakan dasar yang dinyatakan di dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut ; ( d )Perintah mengarahkan Defendan supaya mengubah/menukar semula dasar yang terkendung di Pekeliling 11 dan Pekeliling 12 tersebut menurut kehendak dan peruntukkan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis yang berkaitan perkara tersebut ; ( e ) Kos dan ( f ) Lain-lain relif yang difikirkan sesuai dan manfaat oleh Mahkamah .

A. SIAPAKAH PLAINTIF-PLAINTIF DI DALAM TINDAKAN INI ?

Terdapat empat orang Plaintif-Plaintif di dalam kes ini. Kesemua mereka adalah pelajar sekolah. Pada masa material Plaintif Pertama adalah pelajar Tahun 4 Darjah 4 ) Sekolah Kebangsaan Batu 3, 35350 Temoh , Perak [ lihat perenggan 4 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Kedua pula adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abd Aziz , 31100 Sungai Siput, Perak dan menutut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [ lihat perenggan 5 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Ketiga adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak dan menuntut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [ lihat perenggan 6 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Keempat pula adalah pelajar Madrasah Idrissiah , Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar dan menuntut di Tingkatan 4 sekolah tersebut [ lihat perenggan 7 Afidavit Plaintif ].

Adalah jelas bahawa sebagai pelajar Plaintif mempunyai locus standi untuk membawa tindakan ini kerana dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Defendan sepertimana yang dinyatakan di dalam Pekeliling 11 khususnya [ lihat eksibit A di perenggan 8 Afidavit Plaintif ] dan Pekeliling 12 ( lihat eksibit B di perenggan 9 Afidavit Plaintif ] menjejaskan hak dan kepentingan Plaintif. Plaintif menyatakan di dalam Afidavit Plaintif bahawa “ akibat daripada pengenalan, perlaksanaan dan penguatkuasaan dasar yang terkandung di kedua-dua pekeliling tersebut khususnya Pekeliling 11 yang terpakai kepada Plaintif-Plaintif di dalam tindakan ini, Plaintif-Plaintif telah dipaksa untuk belajar dan diajar bagi kedua-dua matapelajaran tersebut di dalam bahasa Inggeris dan ianya dilaksanakan tanpa kerelaan saya sebagai bapa kepada Plaintif Pertama dan juga bapa-bapa Plaintif-Plaintif yang lain.” [ lihat perenggan 10 Afidavit Plaintif ]

B.ADAKAH PEKELILING 11 DAN PEKELILING 12 YANG DIPERKENALKAN OLEH DEFENDAN ADALAH BERPERLEMBAGAAN ( CONSTITUTIONAL ) DAN SAH DI SISI UNDANG-UNDANG ?

Dengan hormat kami berhujah bahawa di dalam memperkenalkan dasar berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 Defendan telah bertindak di luar batas-batas undang-undang dan juga Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa “ Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa

( a ) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan ( bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi ) ,atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain ;

( b ) tiada apa-apa dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan [ lihat m/s 63-65 Ikatan Authoriti Plaintif ].

Di dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356 isu Perkara 152 Perlembagan Persekutuan telah timbul dan diputuskan oleh Mahkamah. Fakta kes Merdeka University tersebut secara ringkas adalah Plaintif telah mengemukakan petisyen kepada Yang DiPertuan Agung bagi penubuhan Universiti Merdeka. Petisyen tersebut telah ditolak dan Menteri Pendidikan telah mengumumkan bahawa penolakkan petisyen tersebut antara lain disebabkan Universiti Merdeka tersebut akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya..Plaintif telah menfailkan writ saman bagi mendapatkan perintah antara lain perintah deklarasi bahawa penolakkan petisyen untuk penubuhan Universiti Merdeka adalah tidak sah dan terbatal kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ; perintah deklarasi bahawa penolakkan petisyen penubuhan universiti tersebut adlah tidak munasabah dan satu perlaksanaan budibicara yang tidak betul di bawah seksyen 6 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.Di dalam menolak writ saman Plaintif tersebut Yang Arif Abdoolcader J. antara lain memutuskan berhubung penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Beliau menyatakan :-

“ If the Merdeka University were established it would be a public authority within the definition in Article 160 of the Federal Constitution and its purpose would accordingly be an official purpose within Article 152 ( 6 ) of the Constitution and it would therefore be excluded by the parenthesis in proviso ( a ) to Article 152 ( 1 ) from its protection. Consequently as the Merdeka University proposes to give instruction in its course in Chinese , whether as the only or the medium of instruction , the proviso would afford no protection for that purpose.” [ lihat m/s 1 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Oleh yang demikian adalah jelas bahawa dasar Defendan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris juga terbatal dan tidak sah kerana penggunanan bahasa tersebut di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi ( for official purposes ) sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 152 ( 6 ) Perlembagaan Persekutuan Pakar Undang_-Undang Perlembagaan, Prof .Dr Aziz Bari di dalam bukunya “Malaysia Constitution : A Critical Introduction” terbitan The Other Press, Kuala Lumpur ,2003 menyatakan di m/s 48

“ Whatever the constitution has to say about the Malay language in recent years there have been policies which apparently not in conformity with art 152. A good example being the decision of the federal government to use English as the medium of instruction for Science and Mathematics in school. Apparently this falls under the category of official purpose. This appears to be the position given the decision in Merdeka University Berhad where the government rejection to an application to establish a private university was upheld.” [ lihat m/s 113 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Selain bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagan Persekutuan dasar tersebut juga bertentangan dengan Seksyen 17 ( 1 ) Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) yang secara jelas memperuntukkan bahawa “ Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini. [ lihat m/s 108 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Seksyen 2 Akta Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) pula menafsirkan “bahasa kebangsaan” beerti bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan [ lihat m/s 100 Ikatan Authoriti Plaintif ] Seterusnya jika dilihat kepada Muqaddimah ( Preamble ) Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) khususnya di Recital yang ketiga adalah jelas dinyatakan bahawa "… DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan seperti berikut :

“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kea rah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani , emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan , berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga , masyarakat dan negara

DAN BAHAWASANYA dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama…” [ lihat m/s 98 & 99 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Adalah jelas dasar Defendan sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356 Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga memutuskan “ the proposal to use Chinese as the medium of instruction would be contrary to the national education policy “[ lihat m/s 1 Ikatan Authoriti Plaintif ] Seterusnya Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga menyatakan “ Basically the rejection to the Plaintiff’s petition on the composite ground that is contrary to the national education policy turns on the language of instruction in relation to recital in the preamble to the Education Act and in this context my discussion with regard to the purport and effect of the provisions of Article 152 of the Federal Constitution is pertinent and relevant. It would be pertinent to refer to what the Minsiter has to say in his evidence before me in connection with the national education policy to amplify the objection to the proposal for MU in relation to the medium of instruction. He says that in connection with the national objectives the education system is to be used as a means of national unification and the national language is to be the instrument by which Malaysians of different racial origins would be able to unite through a common language and the education system as enunciated by the education policy is to be the basis of the national objective… [ lihat m/s 8 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Selanjutnya Plaintif juga berhujah bahawa dasar berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 juga bertentangan dengan peruntukkan di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Wan Arfah Wan Hamzah di dalam artikelnya yang bertajuk “ Bahasa Malaysia dalam bidang undang-undang-pencapaian dan cabaran “ yang dimuatkan di Makalah Undang-Undang Menghormati Ahmad Ibrahim , terbitan Dewan Bahasa & Pustaka , 1988 menyatakan :

“ Parlimen meluluskan dua Akta, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 untuk melaksanakan Perkara 152. Akta 1963 yang mengandungi hanya beberapa peruntukkan telah disatukan dengan Akta 1967 yang telah disemak dan kini dinamai Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Tujuan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, aialah menetapkan penggunaan bahasa Melayu ( kini dikenali sebagai bahasa Malaysia ) untuk maksud-maksud rasmi tetapi pada waktu yang sama membenarkan bahasa Inggeris dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan terus digunakan untuk apa-apa maksud yang difikirkan sesuai perlu demi kepentingan awam.” [ lihat m/s 65 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Adalah dihujahkan pengajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi yang demikian penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu yang wajib. Selain perlanggaran Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 17 Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Dasar Pendidikan Negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Negara dasar tersebut juga, dari segi perlaksanaanya, bercanggah dengan Perkara 8 ( 1) Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat perbezaan peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik untuk Tahun 1 bagi Sekolah Kebangsaan ( SK ) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT ) di satu pihak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC ) di pihak yang lain ( lihat perenggan 11 ( b ) Afidavit Plaintif ). Bagi SK dan SJKT jumlah pengajaran dan pembelajaran adalah 90 minit seminggu ( Sains ) dan 210 minit seminggu ( Matematik ) manakala bagi SJKC terdapat penggunaan dua bahasa bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matpelajaran tersebut iaitu bahasa Manderin ( 90 minit Sains ; 180 Minit-Matematik ) dan dalam bahasa Inggeris ( 90 minit -Sains ; 120 minit -Matematik ).

Adalah dihujahkan SK dan SJKT telah didiskriminasikan bukan sahaja berhubung peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik tetapi juga dari sudut tidak diperuntukkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu dan bahasa Tamil sepertimana yang dipraktikkan kepada SJKC yang diberi kebenaran belajar dan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin. Kalau ini bukan dinamakan amalan diskriminasi dan arbitrari apakah yang kita hendak namakan bagi amalan seperti ini ? Di dalam kes Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan ( 1996 ) 1 MLJ 261 Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram telah menuruti keputusan kes Mahkamah Agung di India iaitu kes Maneka Gandhi v Union of India yang memberi tafsiran baru berhubung Artikel 14 Perlembagaan India ( yang in pari materia dengan Artikel 8 ( 1 ) Perlembagan Persekutuan ) apabila memutuskan

“ Now..the question immediately arises as to what is the requirement of art 14 what is the content and reach of the great equalizing principle enunciated in this article ?...Where an act is arbitrary , it is implicit in it that is unequal both according to political logic and constitutional law and is therefore violative of art 14. Art 14 strikes at arbitrariness in State action and ensures fairness and equality of treatment..” [ lihat m/s 36 & 37 Ikatan Authoriti Plaintif. ]

Plaintif juga berhujah bahawa dasar tersebut dan perlaksanaannya akan mewujudkan satu jurang diskriminiasi yang runcing dan mendalam di antara pelajar-pelajar di kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang sekaligus mewjudkan satu lagi amalan diskrimniasi dan arbitrari yang bertentangan dengan Perkara 8 ( 1 ) Perlembgaan Persekutuan ) [ lihat perenggan 11 ( c ) Afidavit Plaintif ]. Plaintif hujahkan prinsip yang dinyatakan di dalam kes Tan Tek Seng ( supra ) juga terpakai bagi perkara ini. Sepertimana yang dikatakan oleh Plaintif di perenggan 12 Afidavit Plaintif tiada sebarang indikasi bahawa Defendan akan menukar dasar tersebut bagi memastikan ianya selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan melainkan terdapat satu intervensi daripada Mahkamah yang mulia ini yang fungsinya adalah sebagai penjaga/pengawal Perlembagaan ( the guardian of the constitution ).