Wednesday, April 04, 2007

Kenaikan Tol -Lima pilihan untuk rakyat

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

TAHNIAH kepada rakyat Malaysia. Tahun 2007 disambut dengan hadiah kenaikan tol oleh Kerajaan BN di beberapa buah lebuh raya di Lembah Kelang. Kenaikan tol kali ini agak "menarik" kerana kadarnya amat tinggi iaitu menjangkau hingga 60 peratus.

Yang pastinya kenaikan tol ini tidak memeritkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan keseluruhan pak menteri dan kaum keluarga mereka meskipun mereka berkokok siang dan malam kononya rakyat perlu bersama-sama merasai bebanan yang ditanggung oleh pihak Kerajaan.

Kenaikan tol ini sudah tentu disambut dengan kegembiraan dan keriangan oleh pemegang konsesi berikut:

a. Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) iaitu operator tol bagi Lebuhraya Damansara Puchong ( LDP ). Litrak dimiliki 38.4% oleh Gamuda. LDP yang dianugerahkan faedah konsesi selama 33 tahun merupakan lebuhraya yang paling kerap dan banyak digunakan oleh kenderaan dan konsesi 33 tahun ini memberikan keuntungan berlipat ganda kepada Litrak.

GK Goh Research meramalkan keuntungan Litrak akan melompat sebanyak 50% setahun ke setahun ( year-on-year ) bagi Tahun Kewangan 2007 dan 2008 ( FY2007 and FY2008 ) disebabkan kenaikan kadar tol baru ini. Laporan tersebut juga menambah bahawa dividen Litrak akan berlipat ganda bagi tahun kewangan 2008 (FY2008 ) daripada tahap yang sedia ada Litrak juga adalah operator tol bagi lebuhraya SPRINT yang juga dijadualkan akan menerima kenaikan toll pada tahun 2008.

b. Grand Saga Sdn Bhd adalah pemegang konsesi untuk Lebuhraya Cheras-Kajang. Terdapat dua tol untuk jalan yang panjangnya hanya 11.5km. Sebelum kenaikan tol kadar bayaran tol adalah 70 sen bagi pemandu yang memandu kenderaan peribadi di tol plaza 9 batu yang pertama dan 60 sen di 11 batu yang kedua. Pada masa ini kenaikannya adalah masing-masing pada kadar RM 1 dan 90 sen.

c. MTD Infraperdana Bhd yang mengendalikan lebuhraya KL-KJarak sejauh 60 km. Kini kadar tol di Plaza Tol Gombak telah dinaikkan daripada RM 4 ke RM 5 manakala kadar tol di Plaza Tol Bentung menyaksikan kadar bayaran tol dinaikkan dari RM 2.50 kepada RM 3.00.

Tidak boleh disangkal lagi bahawa kenaikan tol kali ini benar-benar dirasai keperitannya oleh rakyat. Apatah lagi kenaikan kadar tol ini berkuatkuasa ketika rakyat sedang menderita dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak di awal tahun manakala kesan keperitan kenaikan harga pertrol dan diesel masih belum hilang.

Bayangkan rakyat yang harus menggunakan LDP pergi dan balik kini perlu membayar RM 1.20 sehari di mana bagi tempoh sebulan beliau harus membayar RM96 dan RM1,152 setahun. Dalam keadaan rakyat perlu membayar RM 1,2152 setahun, Litrak pula mendapat keuntungan berlipat ganda. Untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 Litrak membayar dividen bersih kepada pemegang sahamnya 7.2 sen.

Apa yang lebih malang lagi meskipun kadar tol dinaikkan tiada sebarang jaminan perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna jalanraya di lebuh raya tertentu benar-benar memuaskan hati pengguna.

Lihat sahaja di LDP dimana semua pengguna jalanraya teramat maklum kesesakan yang mereka alami khususnya di sepanjang Sunway-Damansara yang mungkin kesesakan itu bersifat kekal abadi dan rakyat harus membayar RM 1.60 untuk turut sama dalam kesesakan ini.

Jadi persoalan yang boleh dibangkitkan adalah adakah pengguna mendapat nilai tambah daripada pengeluaran wang membayar tol ini.

Dengan lain perkataan adakah kenaikan kadar tol boleh dijustifikasikan dengan mutu perkhidmatan yang ditawarkan di lebuhraya berkenaan.

Satu lagi perkara yang tidak boleh disangkal adalah kesan yang tumpah ( the spillover effect ) dengan kenaikan kadar tol ini. Terdapat kebarangkalian yang tinggi kenaikan kadar tol akan dizahirkan pada harga barangan khususnya di Lembah Kelang sama ada secara langsung atau tersirat disebabkan kesan 'cost pass-through".

Hari ini kadar harga makanan di Lembah Kelang telah meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus dibandingkan tahun-tahun yang lalu. Meskipun 'spillover effect" ini suatu yang pasti terjadi bapak-bapak menteri yang haprak ini masih tidak segan silu bersandiwara meminta para peniaga tidak menaikan harga barangan.

Dalam keadaan begini apakah pilihan atau opsyen kepada rakyat ? Di sini saya membentangkan lima opsyen yang mungkin boleh difikirkan oleh rakyat sebagai pihak yang secara langsung mengalami bahana kenaikan tol ini.

A. Membeli saham syarikat-syarikat pemegang konsesi tol

Rasional cadangan ini adalah sebagai pemegang saham syarikat-syarikat pemegang konsesi ini rakyat boleh mendapat balik bayaran tol yang dibayar dalam bentuk dividen atau hasil kenaikan harga saham.

Ng Kar Yean di dalam catatan sinisnya di kolum "coffe break" di dalam akhbar The Edge bertarikh 18 /12/2006 membuat pengiraan berikut jika rakyat membeli saham syarikat-syarikat tersebut.

Sebagai contoh bagi LDP kadar tol adalah RM 1.60 . Maka kadar tol yang dibayar sehari pergi dan balik bagi pengguna LDP adalah RM 1.20 sehari, RM 96 sebulan dan RM 1,152 setahun.

Berapa banyak pengguna lebuhraya LDP harus mengeluarkan wangnya kepada Lingkaran Litrak bagi membeli saham untuk mendapatkan setiap sen yang beliau keluarkan bagi pembayaran tol di LDP?

Sepertimana yang dikatakan tadi bahawa untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 Litrak membayar dividen bersih kepada pemegang sahamnya 7.2 sen.

Katakan dengan kenaikan kadar tol ini Litrak menjadi lebih pemurah dan bercadang membayar dividen bersih 10 sen bagi tahun kewangan 2007. Pada masa ini harga saham Litrak pada kadar RM 3. Jika diterjemahkan kepada dividen bersih penghasilannya adalah 3.33 peratus.

Dengan hasil dividen sebegitu pengguna perlu mengeluarkan wang sebanyak RM34,594 kepada Litrak jika ingin mendapat balik tol yang dibayar sebanyak RM 1,152 setahun kepada Litrak di LDP . Dari manakah pengguna ingin mendapatkan wang sebegitu? Dari bawah bantal?

B. Rakyat terus menerus mengadakan demonstrasi sehingga kadar tol baru ini diturunkan

Rakyat yang ingin memilih opsyen ini bolehlah terus menerus mengikuti setiap demonstrasi yang akan dianjurkan oleh Barisan Alternatif dan Badan-Badan Bukan Kerajaan ( NGO ) yang peka terhadap isu ini sehinggalah Kerajaan merasa terancam dengan demonstrasi ini dan bersedia untuk menurunkan kada tol di lebuhraya-lebuhraya yang terbabit.

Melihat kepada demonstrasi (kecuali di zaman reformas ) yang berlaku di dalam isu kenaikan harga minyak masalah yang besar adalah untuk mengekalkan momentum dan kepanasan isu tersebut yang sekaligus mempengaruhi kehadiran rakyat di dalam demonstrasi tersebut.

Apa yang sering berlaku momentum demonstrasi ini seperti solat tarawikh di bulan Ramadhan di masjid -masjid di mana di awal ramadhan menyaksikan limpahan para jemaah sebaliknya di akhir ramadhan hanya Pak Imam dan Bilal yang menjadi penunggu yang setia.

Apa yang perlu difikirkan khususnya oleh para pimpinan BA dan NGO adalah bagaimanakah rakyat terus-menerus konsisten menghadiri demonsrasi ini. Ianya perlu distrukturkan secara teliti dan teratur bagi mendapatkan kesan yang optimum.

C. Rakyat jangan membayar tol dan melancarkan "civil disobedience"

Kalimah "Civil Disobedience" mungkin masih asing bagi rakyat negara ini. Ia adalah kalimah yang dipopularkan oleh Henry David Thoreau yang amat membenci melihat perhambaan golongan kulit hitam dan telah menggunakan kalimah ini bagi melawan pihak Kerajaan.

Civil disobedience sepertimana yang dinyatakan oleh Thoreau adalah "not lend myself to the wrong which I condemed and the only obligation I have a right to assume is to do at any time what I think right and to be right is more honorable than to be law abiding citizen ."

Bagi penggerak civil disobedience, jika mereka berpendirian kenaikan tol ini tidak wajar dan ianya adalah satu kezaliman kepada rakyat dan pendiriannya itu dirasakan betul ia bersedia untuk tidak membayar tol meskipun ia menggunakan lebuh raya tersebut.

Baginya tidak membayar tol tersebut (kerana berpendirian ianya satu kezaliman) adalah lebih mulia dan dihormati daripada menjadi rakyat yang pada satu masa menentang kenaikan tol tapi dalam masa yang sama masih terus mengikut undang-undang (law abiding) dengan membayar tol yang ditentang tersebut.

Antara tokoh besar yang pernah menggunakan kaedah ini adalah Mahathma Gandhi yang popular dengan prinsip "satyagraha"nya dan bagi Gandhi kalimah "civil resistence" adalah lebih tepat daripada "civil disobedience". Nelson Mandela juga menggunakan kaedah ini sebagai salah satu cara menentang rejim apartheid.

Jika rakyat ingin memilih kaedah ini mereka mesti bersedia mengambil risiko. Risikonya adalah ianya akan membawa mereka ke muka pengadilan atau dipenjarakan sepertimana Gandhi pernah dan sering mengalaminya. Jika ramai yang bersedia dan berani mengambil risiko ini mungkin ia boleh memberikan kesan yang positif dalam menentang isu kenaikan tol ini.

D. Tidak mengundi BN di dalam pilihanraya umum akan datang

Pilihan ini mungkin satu pilihan yang paling mudah dan bersih dari risiko. Sifirnya amat mudah - kami ( rakyat ) telah memberi mandat yang amat besar kepada BN pada pilihanraya umum tahun 2004 yang lalu dan kamu ( BN ) sepatutnya menggunakan mandat besar itu untuk menolong meringankan beban kami bukan menguntungkan kroni kamu .

Oleh kerana BN gagal meringankan beban rakyat, kami akan hukum kamu dalam pilihanraya umum yang akan datang. Jika kamu tidak percaya kami akan buktikan dalam pilihanraya kecil DUN Batu Talam di Pahang pada 28 hb Januari nanti.

Jika rakyat masih sangsi adakah kerajaan BA boleh meringankan beban mereka khususnya dalam isu tol ini , lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Kerajaan BA di Trengganu yang telah berjaya menghapuskan tol ( termasuk cukai pintu ) apabila rakyat memilih mereka. Hakikatnya penghapusan tol oleh kerajaan BA bukan satu mitos . Ianya realiti yang benar-benar berlaku.

Mungkin jika rakyat memilh opsyen ini pada masa akan datang kita hanya akan boleh melihat tol di muzium sepertimana yang dikatakan oleh Pemenang Novel Keamanan Prof Yunus, Pencetus Grameen Bank "my aim is to ensure that people only see poverty in museum" ("Cita-cita saya adalah memastikan orang akan melihat kemiskinan hanya di Muzeum")

E. Terus membayar tol dan menyokong BN
Opsyen bagi rakyat yang tidak mengambil peduli apa yang terjadi dikelilingnya. Jika opsyen ini yang dipilih mereka tidak layak untuk mengeluh dengan bebanan dan kesengsaraan yang dialami dengan kenaikan tol ini.

Mereka juga mesti terus bersedia dengan kenaikan harga barangan dan jangan mengeluh sama sekali. Mereka tidak boleh sama sekali marah dengan apa-apa kenaikan tol selepas ini kerana menyokong BN bererti mereka redha dengan apa yang terjadi.