Monday, January 08, 2007

UUM bayar RM70 ribu kepada pelajar teraniaya

UUM bayar RM70 ribu kepada pelajar teraniaya
Harakahdaily
Mon | Jan 08, 07 | 12:03:09 PM

ALOR SETAR, 8 Jan (Hrkh) - Universiti Utara Malaysia(UUM) hari ini bersetuju membayar bekas pelajar tahun akhir sessi 1999/2000, Mohd Rizal bin Mohd@ Anan sebanyak RM 70 ribu sebagai penyelesaian muktamad kes pelajar kerana digantung tiga semester pada tahun 2000 lepas.

Penyelesaian tersebut dicapai apabila pihak UUM dan pelajar tersebut bersetuju merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dato’ Supian Abdul Razak, Hakim.

Mohd Rizal memfailkan Writ Saman ke atas UUM pada tahun 2001 kerana tidak berpuashati dengan tindakan pihak berkuasa tatatertib UUM yang menggantung beliau selama tiga semester di atas tuduhan tatatertib mengaibkan UUM kerana terlibat memberikan pandangan dalam program “Dialog Agama Bersama Astora Jabat” yang diadakan di perkarangan masjid UUM pada 11 Febuari 2000 lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya pelajar tersebut antara lain memplidkan bahawa keputusan pegantunggan beliau oleh UUM adalah tidak sah kerana pihak UUM telah gagal memathui beberapa peruntukkan Kaedah-Kaedah UUM (Tatatertib Pelajar-Pelajar ) ketika mana beliau dibicarakan .

Beliau juga mendakwa bahawa tindakan pihak UUM menggantung beliau juga bertentangan dengan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak bersuara di mana termasuk hak tersebut hak untuk memberikan pandangan di pentas akademik.

Ketika mana penggantungan tersebut dilakukan pelajar tersebut berada di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan sedang menduduki peperiksaan dan akibat penggantungan tersebut beliau dinafikan untuk menduduki kertas terakhir dan terpaksa menunggu tiga semester untuk kembali belajar semula di UUM.

Semasa memberikan keterangan di Mahkamah, Mohd Rizal menyatakan bahawa beliau terpaksa menghadiri kelas dan seterusnya menduduki peperiksaan kertas yang beliau telah duduki meskipun sebelum penggantungan tersebut beliau hanya perlu menduduki peperiksaan bagi satu kertas sahaja.

Kes pelajar tersebut mendapat publisiti yang agak meluas hingga ke dewan Parlimen apabila al-Marhum Presiden Pas, Dato’ Haji Fadzil Noor yang juga mantan Ketua Pembangkan Parlimen membangkitkan kes tersebut di Dewan Rakyat.

Astora Jabat juga mengulas isu tersebut di dalam kolumnya di akhbar Utusan Malaysia. Mohd Rizal diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala UUM diwakili oleh peguam Mazlan. - mr